Projek HSR terpaksa dibatalkan kerana kesan ekonomi – Mustapa Mohamed

- Advertisement -

CYBERJAYA: Perjanjian dua hala projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) terpaksa ditamatkan, akibat ekonomi yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata, terma-terma perjanjian dua hala yang ditandatangani pada 2016 tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan teruk kepada ekonomi, sekali gus menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Beliau berkata, sejak akhir 2018 beberapa alternatif dibuat oleh kerajaan Malaysia bagi mengurangkan kos keseluruhan projek tersebut dan ia semakin menjadi keutamaan apabila Covid-19 melanda.

“Lanjutan daripada itu, bermula pertengahan 2020 lalu Malaysia telah mengemukakan beberapa cadangan perubahan bagi mengurangkan kos keseluruhan projek ini.

“Cadangan-cadangan tersebut termasuklah perubahan kepada struktur projek, jajaran dan reka bentuk stesen,” katanya.

Jelas Mustapa, struktur projek asal memerlukan jumlah jaminan kerajaan (government guarantees) yang besar dan untuk tempoh panjang.

Cadangan struktur projek yang baru pula katanya akan memberikan kerajaan fleksibiliti membuat pilihan pembiayaan projek termasuklah melalui kaedah pembayaran tertangguh, usaha sama awam dan swasta serta kemungkinan mendapatkan akses kepada pembiayaan pada kadar yang munasabah.

“Lebih penting lagi, cadangan perubahan struktur projek ini dijangka dapat mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Berdasarkan cadangan baru yang dikemukakan, projek ini akan dimulakan pembinaannya dua tahun lebih awal berbanding perancangan asal.

“Ini akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan oleh sektor pembinaan dan juga industri lain yang berkait rapat dengan sektor ini,” katanya.

Mustapa berkata kerajaan juga akan melaksanakan kajian terperinci yang akan meliputi kesemua pilihan termasuk daya maju projek kereta api laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat.

Dia turut menegaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura akan terus diperkukuhkan demi faedah bersama.

Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan bersama mengumumkan projek tersebut terpaksa ditamatkan.

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata Malaysia ingin membuat perubahan pada landasan kereta api dan ia dibincangkan kedua-dua negara yang akhirnya membawa keputusan untuk menamatkan perjanjian tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat