KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (Geramm) menegaskan transformasi digital tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan mata pencarian pekerja susulan langkah rasionalisasi Media Mulia Sdn Bhd yang menimbulkan ketidaktentuan masa depan hampir 100 pekerja Utusan Malaysia dan Kosmo!.
Dalam satu kenyataan, Geramm menyatakan solidariti penuh bersama pekerja terbabit, termasuk wartawan, serta menggesa pihak pengurusan mengutamakan rundingan sebelum memutuskan sebarang pemberhentian.
Menurutnya, walaupun cabaran industri media semakin getir, kebajikan pekerja perlu terus diberikan perhatian dalam pelaksanaan perubahan organisasi.
“Geramm memahami cabaran industri media yang semakin mencabar, namun transformasi digital tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan mata pencarian pekerja.
“Kami tidak mahu sejarah pahit penutupan Utusan Melayu pada 2019, yang menyaksikan ratusan pekerja kehilangan pekerjaan, berulang,” menurut kenyataan itu.
Geramm turut mengingatkan pengurusan Media Mulia mengenai peringatan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, supaya syarikat media tidak memberhentikan pekerja sewenang-wenangnya dan tampil berbincang dengan kementerian bagi mencari penyelesaian.
Sehubungan itu, gerakan berkenaan menggesa syarikat memberikan penjelasan telus kepada pekerja mengenai masa depan mereka serta meneroka segala pilihan sebelum sebarang keputusan pemberhentian dibuat.
“Kami menggesa Media Mulia supaya mengutamakan rundingan bersama pekerja, memberikan penjelasan telus mengenai masa depan mereka dan meneroka segala pilihan sebelum sebarang pemberhentian diputuskan,” katanya.
Geramm menegaskan legasi sesebuah organisasi media turut terletak pada sumbangan pekerja yang membina kredibiliti penerbitan berkenaan.
“Legasi sesebuah organisasi media bukan sekadar pada jenamanya, tetapi juga pada pekerja yang membina kredibilitinya.
“Jangan biarkan pekerja media terus membayar harga paling mahal bagi krisis industri yang bukan mereka cipta,” menurut kenyataan itu. – SuaraTV



