KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menjawab hantaran yang tular secara meluas di Threads oleh seorang individu yang mempersoalkan status kewarganegaraan dua indivudu yang dilihat tidak mempunyai rupa seperti rakyat Malaysia tetapi boleh memiliki kad pengenalan.
JPN dalam satu kenyataan hari ini mengambil maklum mengenai penyebaran hantaran itu di media sosial sehingga menjadi perhatian masyarakat.
Menurut JPN, untuk kes pertama yang melibatkan seorang lelaki dari Bangladesh, semakan rekod rasmi mendapati dia telah memperoleh taraf kerakyatan Malaysia melalui proses naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2025 secara teratur dan mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
“Individu berkenaan juga katanya, merupakan suami kepada wanita warganegara Malaysia dan pemegang status Penduduk Tetap (PR) sejak tahun 2009,” jelas JPN.
Bagi kes kedua pula, yang melibatkan seorang individu wanita yang didakwa warga Pakistan, JPN sedang menjalankan siasatan lanjut susulan aduan yang diterima.
Penelitian sedang dilaksanakan berdasarkan rekod rasmi dan fakta berkaitan.
JPN memaklumkan perkembangan lanjut berhubung kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pihak JPN menyatakan mereka memahami keraguan dan kebimbangan masyarakat berhubung isu yang dibangkitkan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai keraguan atau menemui maklumat yang menimbulkan persoalan berkaitan status kewarganegaraan seseorang digalakkan untuk mengemukakan pertanyaan atau aduan melalui saluran rasmi JPN bagi membolehkan semakan sewajarnya dibuat, tanpa mendedahkan maklumat peribadi individu secara terbuka di media sosial,” jelasnya.
JPN kekal komited dalam memastikan setiap urusan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti, berintegriti serta berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sebelum ini, seorang pengguna Threads mempersoalkan satu hantaran tangkap layar mengenai seorang wanita dipercayai warga asing yang memiliki MyKad berwarna biru yang dikhususkan untuk rakyat Malaysia.
Dalam tangkap layar dikongsikan, awalnya seorang wanita yang merupakan pengguna Threads telah berkongsi dia terjumpa seorang pesakit yang kelihatan warga asing namun mempunyai kad pengenalan berwarna biru.
Dia mendakwa, pesakit berkenaan yang memakai purdah tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris dan mempunyai pasport Malaysia.
Pengguna Threads itu turut mempersoal maklumat pada kad pengenalan wanita terbabit yang disifatkan agak mengelirukan kerana dia dipercayai lahir pada tahun 2002 namun wajahnya dalam gambar pada MyKad kelihatan lebih tua.
Ini kerana sekiranya lahir pada tahun 2002, individu berkenaan sepatutnya berusia dalam lingkungan 20-an namun gambar pada MyKadnya kelihatan seperti wanita berusia 40-an ke atas.
Selain itu, maklumat pada kad pengenalan menunjukkan individu berkenaan tinggal di Selangor, namun alamat mengundinya pula di Terengganu serta tempat lahir di Pahang.


