JOHOR BAHRU, 27 Oktober – Johor Corporation (JCorp) menafikan dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia yang mengaitkannya dengan syarikat perladangan dipercayai terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah di negara itu.
JCorp dalam kenyataan menegaskan pihaknya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia, selain tidak lagi mempunyai kepentingan pemilikan atau penglibatan dalam operasi syarikat-syarikat yang dikaitkan dengannya.
Penjelasan itu dibuat susulan laporan Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) yang mendakwa 21 syarikat mempunyai kaitan dengan entiti perniagaan Malaysia terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia antara Januari hingga September tahun ini.
Menurut JCorp, penerbitan dan penyebaran berterusan dakwaan tidak berasas itu menimbulkan tanggapan salah bahawa pihaknya masih memiliki, mengawal atau mengendalikan syarikat terbabit, sekali gus mengaitkannya dengan insiden yang didakwa berlaku.
“Sebagai sebuah institusi milik kerajaan negeri, insinuasi tidak berasas ini telah menjejaskan reputasi JCorp dan Kerajaan Negeri Johor secara serius,” menurut kenyataan itu.
JCorp menjelaskan, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kulim (Malaysia) Berhad, pihaknya telah melupuskan kepentingan dalam beberapa syarikat di Indonesia sejak 2007.
“Pelupusan itu melibatkan PT Graha Cakra Mulia, PT Sumber Mahardhika Graha, PT Salonok Ladang Mas serta PT Harapan Hibrida Kalbar pada 8 Ogos 2007, disusuli PT Trimurti Sumbertama pada 26 Sept 2007, dengan hal berkaitan pelupusan itu direkodkan dalam Laporan Tahunan JCorp 2008,” menurut kenyataan itu.
Pada 6 Julai 2023, Kulim turut melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam dua lagi entiti, iaitu PT Tempirai Palm Resources dan PT Rambang Agro Jaya, kepada PT Bakung Starch Lestari.
Susulan pelupusan tersebut, JCorp mengulangi bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kepentingan pemilikan atau penglibatan dalam operasi syarikat-syarikat berkenaan.
JCorp merupakan organisasi berteraskan nilai dengan jumlah aset melebihi RM26 bilion setakat akhir tahun kewangan 2025.
Lima syarikat utamanya ialah KPJ Healthcare Berhad, JLand Group Sdn Bhd, Johor Plantations Group Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd dan Johor Capital Group Sdn Bhd.
Syarikat-syarikat itu menerajui kepentingan kumpulan dalam sektor kesejahteraan dan penjagaan kesihatan, hartanah dan infrastruktur, perniagaan tani, makanan dan restoran serta pelaburan modal jangka panjang.
Dakwaan WALHI berkenaan dimuatkan dalam laporan bertajuk “Actor Mapping Analysis: Who Are Behind the Fires?” yang diterbitkan Eksekutif Nasional organisasi itu. – SuaraTV/BERNAMA



