Ab Rauf serah kepada MCA umum pendirian, tiada pertemuan lanjut dijadualkan

KUALA LUMPUR – Rundingan dengan MCA berhubung pengagihan kerusi Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan perkembangan positif.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perbincangan bersama Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong pada Isnin lalu berjaya meleraikan kebuntuan yang timbul.

Namun, katanya, keputusan muktamad masih bergantung kepada pendirian kepimpinan MCA.

“Saya tahu macam mana dengan perundingan dengan MCA, kita dapat meleraikan kebuntuan yang sebelum ini menimbulkan masalah.

“Kita tunggu MCA sendiri nanti akan umumkan hasil daripada perundingan yang telah saya bincang dengan beliau (Ka Siong).

Bagi saya, perbincangan itu adalah positif,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Masjid Tanah di Villa d’Acqua lapor Utusan di Melaka.

Majlis disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ab Rauf diminta mengulas kenyataan Ka Siong bahawa masih terlalu awal untuk menganggap pertemuan dengan kepemimpinan BN sebagai positif, selain berharap satu penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh satu atau dua hari.

Ka Siong mengesahkan pertemuan bersama Ab. Rauf dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 malam, Isnin lalu.

Beliau menegaskan, MCA masih tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi PRN Melaka dan sebarang keputusan mengenai pendirian parti akan ditentukan secara kolektif oleh kepemimpinan tertinggi MCA.

Ab Rauf berkata, Umno telah menyelesaikan perbincangan dan menyerahkan kepada MCA untuk memaklumkan keputusan seterusnya.

“Tiada pertemuan lanjut dijadualkan selepas ini,” katanya.

Kemelut berkenaan tercetus ketika pengumuman calon BN pada 24 Oktober lalu, apabila pemimpin MCA bertindak meninggalkan dewan sebagai tanda tidak puas hati.

Perkembangan itu turut menimbulkan persoalan mengenai kedudukan MCA dalam menghadapi PRN Melaka, khususnya selepas beberapa kerusi yang sebelum ini ditandingi mereka diberikan kepada pihak lain.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat