KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi mengingatkan Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Fadzmel Fadzil supaya tidak menafikan hakikat bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah membuat komitmen perbelanjaan melebihi peruntukan ketika berada di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, cubaan mengaitkan masalah tunggakan bayaran kontraktor dengan komitmen kerajaan terdahulu tidak selari dengan penjelasan rasmi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu.
Menurut Iman, jawapan Menteri Kewangan II secara jelas menunjukkan KKDW telah berbelanja melebihi peruntukan asal sejak 2023, iaitu ketika Ahmad Zahid sudah menerajui kementerian berkenaan.
“Pertama, soal tunggakan daripada tahun-tahun terdahulu. Menteri Kewangan II sudah jelaskan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober, KKDW berbelanja melebihi peruntukan asal sejak 2023.
“Jawapan itu langsung tidak menyebut sebarang tunggakan dari 2020 hingga 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Iman berkata, berdasarkan angka yang dibentangkan KKDW sendiri di Dewan Rakyat pada 26 Oktober, jumlah peruntukan asal kementerian bagi tempoh 2023 hingga 2025 adalah sebanyak RM3.98 bilion.
Bagaimanapun, jumlah perbelanjaan sebenar bagi tempoh sama mencecah RM6.11 bilion, sekali gus menunjukkan perbezaan lebih RM2.1 bilion berbanding peruntukan asal.
“Terlebih belanja RM2.1 bilion dalam tiga tahun. Senang cerita, bajet empat, belanja enam,” katanya.
Menurut beliau, walaupun peruntukan 2025 telah dinaikkan kepada RM2.27 bilion, KKDW masih berdepan tunggakan pembayaran sebanyak RM1.05 bilion.
Iman turut mempertikaikan tindakan Fadzmel meminta bukti bahawa peruntukan tambahan untuk KKDW diperoleh daripada penjimatan kementerian lain, sedangkan perkara itu telah dijelaskan secara terbuka di Parlimen.
Katanya, Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan tambahan RM500 juta melalui Surat Kebenaran Berbelanja Melebihi Peruntukan (SKB), masing-masing RM300 juta pada 1 September dan RM200 juta pada 21 September lalu.
Menurutnya, peruntukan tambahan tersebut diperoleh daripada penjimatan beberapa kementerian termasuk yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal wanita, sumber asli, pelancongan, pertanian, pengangkutan, perumahan dan ekonomi.
“Kata Datuk Seri Amir Hamzah, kita pindahkan daripada kementerian lain untuk menampung SKB itu.
“Malah sejak 20 Oktober lagi berita sudah melaporkan duit itu datang daripada penjimatan kementerian lain. SUA itu sepatutnya buat research sikit sebelum menulis ‘sila kemukakan bukti’,” katanya.
Dalam pada itu, Iman menegaskan bahawa kelulusan projek oleh MOF dan Kementerian Ekonomi tidak boleh dijadikan alasan untuk membuat komitmen perbelanjaan melebihi peruntukan yang telah diluluskan.
Menurutnya, Arahan Perbendaharaan menetapkan tanggungjawab pegawai pengawal kementerian untuk memastikan perbelanjaan tidak melebihi had peruntukan, selain memastikan pembayaran kepada kontraktor dilaksanakan mengikut peraturan.
Beliau berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan juga telah menjelaskan sejak 2 September bahawa tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan jalan luar bandar KKDW, sebaliknya peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya.
“Masalah bayaran timbul kerana peruntukan tahun ini sudah hampir habis dibelanjakan ketika itu,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa MOF membatalkan projek pembangunan luar bandar, Iman menjelaskan terdapat perbezaan antara pembatalan proses tender dengan pembatalan projek yang telah mempunyai kontraktor.
Katanya, Fadzmel sendiri dalam kenyataannya menyebut sebanyak 40 projek dibatalkan proses tender, manakala 87 projek ditangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST).
Beliau menjelaskan projek yang dibatalkan proses tendernya belum mempunyai kontraktor yang dilantik, manakala 87 projek yang belum dikeluarkan SST juga belum mencapai peringkat pelantikan kontraktor secara rasmi.
“Menteri Kewangan II sudah tegaskan di Dewan: Maka adalah tidak benar dakwaan bahawa MOF membatalkan projek.
“Logiknya mudah, bayar dulu kontraktor yang sudah siapkan kerja, termasuk kontraktor kecil dan kontraktor Bumiputera yang beliau sebut, baru beri kerja baharu,” katanya.
Iman turut membangkitkan dakwaan Fadzmel bahawa KKDW terpaksa mengorbankan beberapa program pembangunan lain termasuk RM200 juta bagi pembinaan dan baik pulih rumah golongan miskin serta Orang Asli untuk menampung tunggakan bayaran projek jalan luar bandar.
Menurutnya, keputusan memindahkan peruntukan dalaman bagi menampung komitmen berkenaan sebenarnya dibuat oleh KKDW sendiri dan bukannya atas arahan MOF.
Beliau mendakwa, pada 2023 sahaja, antara peruntukan yang dikurangkan untuk menampung projek jalan luar bandar melibatkan program Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), bekalan elektrik luar bandar dan bekalan air luar bandar.
“Itulah akibat apabila KKDW berbelanja lebih daripada bajet. Bukan arahan MOF,” tegasnya.
Sementara itu, Iman turut menegur hasrat Fadzmel untuk membawa isu berkenaan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini.
Beliau mempersoalkan kewajaran menjadikan isu pengurusan perbelanjaan kementerian sebagai bahan kempen politik sedangkan penjelasan rasmi mengenainya telah diberikan di Dewan Rakyat.
“Akhir sekali SUA itu kata beliau akan bawa perkara ini dalam kempen-kempen di Melaka. Perkara apa?
“Jawapan kepada dakwaan SUA itu ada dalam Hansard, ada dalam berita. Sebelum bawa benda ini ke Melaka, saya cadangkan saudara SUA rujuk Hansard dulu,” katanya.
Bagaimanapun, Iman menegaskan beliau tetap bersetuju bahawa pembangunan jalan luar bandar perlu diteruskan dan semua kontraktor yang telah menyiapkan kerja mesti menerima pembayaran sewajarnya.
Namun, katanya, setiap kementerian perlu mematuhi disiplin fiskal dan had perbelanjaan yang diluluskan menerusi Belanjawan tahunan.
“Kalau sesuatu kementerian sudah terlebih komitmen berbelanja, beginilah jadinya.
“Janganlah tiba-tiba nak gunakan kesalahan sendiri untuk jadi isu kempen pilihan raya sambil menolak kebenaran dan fakta,” katanya.
Beliau turut menggesa KKDW dan MOF menyelesaikan pertikaian berkenaan melalui perbincangan bagi memastikan projek pembangunan luar bandar dapat diteruskan tanpa menjejaskan kepentingan kontraktor dan rakyat.
Terdahulu, Fadzmel yang merupakan Setiausaha Akhbar kepada Ahmad Zahid mendakwa tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan pemilik tanah berjumlah RM259.503 juta melibatkan 112 projek sehingga 30 September 2026 merupakan sebahagian daripada komitmen yang diwarisi daripada tahun-tahun terdahulu.
Menurut Fadzmel, keadaan tersebut menyebabkan kontraktor kecil termasuk kontraktor Bumiputera gagal menerima bayaran walaupun kerja telah disiapkan.
Beliau turut mendakwa KKDW terpaksa menggunakan peruntukan dalaman sedia ada bagi menyelesaikan tunggakan tersebut sehingga menjejaskan pelaksanaan beberapa program pembangunan lain yang memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar. – SuaraTV



