Setiap insan mempunyai perjalanan tersendiri untuk sampai ke Tanah Suci. Ada yang menanti bertahun-tahun, ada yang tidak putus berdoa, malah ada juga yang perlu membuat pengorbanan besar sebelum akhirnya terpilih menjadi tetamu Allah.
Bagi mendapatkan gambaran lebih dekat tentang perjalanan penuh makna itu, Irkaz Umrah dan Haji menganjurkan sebuah program istimewa berjudul “Kerana Dia Memanggil (Sebuah Perjalanan, Seribu Makna) Mekah, Aku Datang” yang berlangsung di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre, baru-baru ini.
Program tersebut menampilkan perkongsian dua selebriti, Lisa dan Tomok, yang berkongsi pengalaman masing-masing selepas menunaikan ibadah Haji pada tahun ini. Bukan sekadar bercerita tentang perjalanan di Mekah dan Madinah, kedua-duanya turut membuka ruang kepada tetamu untuk menyelami pengalaman peribadi, cabaran emosi serta perubahan perspektif kehidupan selepas pulang dari Tanah Suci.

Perkongsian dimulakan dengan Lisa yang mengakui perjalanan Haji kali ini cukup istimewa kerana bukan sahaja menjadi tetamu Allah, malah turut memikul tanggungjawab sebagai pengelola jemaah Haji untuk tahun kedua bersama Irkaz.
Namun, di sebalik pengalaman indah itu, ada satu pengorbanan yang cukup berat buat seorang ibu apabila terpaksa meninggalkan tiga anaknya yang masih kecil selama 45 hari.
Lisa tidak menafikan keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah. Sokongan ibu dan keizinan suami menjadi kekuatan untuk dia meneruskan perjalanan, meskipun hati seorang ibu sentiasa teringatkan anak-anak yang ditinggalkan di tanah air.
Antara detik yang paling menyentuh perasaannya ialah apabila anak bongsunya menangis teresak-esak selepas tersalah menyangka guru tuisyen yang datang ke rumah sebagai kepulangan ibunya. Lisa hanya mampu menyaksikan keadaan itu menerusi panggilan video, sebelum anaknya akhirnya berjaya dipujuk.
Bagaimanapun, pengalaman tersebut mengajarnya untuk meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah. Lisa percaya Allah akan menjaga keluarga yang ditinggalkan, sekali gus membantunya memberikan tumpuan kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.
Bagi Lisa, perjalanan Haji bukan sekadar pengalaman untuk diri sendiri, sebaliknya satu proses mendidik jiwa, memperbaiki hubungan dengan Allah dan melihat kehidupan daripada sudut yang lebih luas.
Dia turut berkongsi bahawa pengalaman berada di Tanah Suci membuatkannya lebih memahami erti kehidupan sebagai sebuah persinggahan. Pulang daripada Haji juga bukan bermakna seseorang itu terus menjadi insan sempurna atau tidak lagi melakukan kesilapan. Sebaliknya, yang lebih penting ialah usaha berterusan untuk memperbaiki diri, bertaubat dan istiqamah mendekatkan diri kepada Allah.
Lisa turut menitipkan pesanan kepada golongan muda agar tidak menunggu sehingga usia meningkat untuk memasang niat menunaikan Haji. Katanya, seseorang tidak perlu menunggu dirinya menjadi sempurna untuk menyahut panggilan Allah kerana peluang itu sendiri boleh menjadi permulaan kepada perubahan hidup yang lebih baik.
Selepas perkongsian Lisa, program diteruskan dengan Tomok yang turut membawa cerita tersendiri tentang bagaimana dia akhirnya berpeluang menunaikan Haji bersama isteri selepas tiga tahun berusaha membuat rayuan kepada Tabung Haji.

Bagi penyanyi yang pernah popular bersama kumpulan New Boyz itu, saat menerima khabar daripada Tabung Haji merupakan antara detik paling menggembirakan dalam hidupnya. Apatah lagi, peluang tersebut hadir ketika dia dan isteri masih mempunyai kudrat yang kuat untuk melaksanakan ibadah.
Sepanjang berada di Tanah Suci, mereka menghabiskan 45 hari, dengan 40 hari di Mekah dan lima hari di Madinah. Pengalaman itu turut menjadi lebih istimewa apabila Tomok berpeluang menyambut ulang tahun kelahirannya di sana bersama isteri.
Namun, perkara paling menarik daripada perkongsian Tomok ialah pengorbanan yang terpaksa dilakukan sebelum berangkat. Dia mengakui pernah terfikir untuk membatalkan pemergian Haji kerana menerima beberapa tawaran kerja dan projek lain, termasuk program televisyen.
Malah, Tomok pernah ke Tabung Haji dengan hasrat untuk membatalkan pemergian tersebut. Bagaimanapun, selepas berbincang dengan isteri, dia akhirnya memilih untuk meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.
Baginya, peluang pekerjaan mungkin akan datang lagi pada masa hadapan, tetapi peluang untuk menjadi tetamu Allah bukan sesuatu yang boleh dipastikan akan berulang.
Keputusan itu ternyata memberikan makna tersendiri apabila Tomok bersyukur kerana urusan kerjaya dan keluarganya dipermudahkan selepas pulang daripada Haji. Tawaran persembahan dan kerja seni terus hadir, malah dia turut mempunyai komitmen konsert bersama New Boyz.
Tomok melihat keadaan itu sebagai rezeki yang perlu disyukuri. Pengorbanan yang dilakukan sebelum berangkat tidak membuatkannya kehilangan sesuatu, sebaliknya membuka ruang untuk dia lebih menghargai nikmat yang diterima.
Dalam masa sama, Tomok turut mengajak golongan muda supaya mendaftarkan diri dengan Tabung Haji lebih awal dan mula menyimpan wang sedikit demi sedikit. Berdasarkan pengalamannya sendiri, dia menyarankan agar mereka tidak mudah berputus asa membuat rayuan kerana peluang itu mungkin hadir pada waktu yang tidak disangka-sangka.
Dia juga berpendapat usia muda merupakan kelebihan kerana ibadah Haji memerlukan kekuatan fizikal, selain persediaan mental dan rohani.
Walaupun kini bergelar Haji, Tomok menjelaskan dia masih meneruskan kerjaya seni seperti biasa. Cuma, dia perlu lebih bijak membawa diri dan menjaga tingkah laku kerana tanggungjawab memperbaiki diri bukan hanya terletak pada mereka yang sudah menunaikan Haji, tetapi menjadi tuntutan setiap insan.
Menerusi program tersebut, Irkaz Umrah dan Haji bukan sahaja menyediakan ruang untuk Lisa dan Tomok berkongsi pengalaman, malah membawa tetamu mendekati sisi sebenar perjalanan Haji yang tidak semuanya dipenuhi cerita indah. Ada air mata, kerinduan, pengorbanan dan ujian yang akhirnya menjadi sebahagian daripada kenangan paling bermakna.
Daripada kisah Lisa yang terpaksa berjauhan dengan tiga anak selama 45 hari, hinggalah keputusan Tomok mengetepikan komitmen kerjaya demi menyahut panggilan Allah, kedua-duanya membawa satu mesej yang cukup dekat dengan kehidupan.
Sesungguhnya, perjalanan ke Tanah Suci bukan hanya tentang sejauh mana kaki melangkah, tetapi sejauh mana hati bersedia untuk berubah. Kerana apabila panggilan itu tiba, setiap orang mempunyai cerita, pengorbanan dan seribu makna tersendiri untuk dikenang.


