KUALA LUMPUR- Rakyat Melaka pastinya akan menolak parti Kancil yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli ekoran dakyah-dakyah palsu yang sering menjadi mainan bibirnya selain rekod beliau sebagai menteri yang gagal.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dzul Hilmi Zainol berkata, selain faktor Rafizi itu, rakyat Melaka juga pastinya tidak menyokong dan memberikan undi kepada 16 calon parti Kancil ekoran isu moral pemimpinnya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang telah mengaku berkhalwat baru-baru ini.
“Rakyat sudah muak dengan pendedahan-pendedahan yang Rafizi selalu lakukan dan akan membuat penilaian terhadap pencapaian dan kemajuan negara ini terutama dalam bidang ekonomi semenjak PM menerajui kerajaan kira-kira empat tahun yang lalu,
“Pada masa yang sama, rakyat Melaka juga pastinya menilai kemampuan calon-calon PH yang boleh menyelesaikan banyak isu-isu rakyat dengan gandingan yang mantap dengan kerajaan Persekutuan,” dakwa Dzul Hilmi memetik Utusan.
Sebelum ini, Rafizi secara berseloroh berkata penyokong parti itu akan “menyembelihnya” jika Bersama menyertai mana-mana gabungan politik kerana pengundi semakin bosan dengan kerjasama politik yang dibentuk atas dasar perebutan kuasa.
Bersama bertanding secara solo dengan meletakkan calon di 16 kerusi pada PRN Melaka yang akan berlangsung pada 14 Nov ini.
Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, pihaknya mahu jadikan pencapaian ekonomi kerajaan Persekutuan dan usaha menangani kos sara hidup sebagai modal utama untuk meraih sokongan pengundi pada PRN Melaka.
Jelasnya, PH juga berjanji tidak akan memainkan sentimen perkauman atau menggunakan serangan peribadi sepanjang kempen menerusi tema “Melaka Rumah Kita” dengan manifesto yang mengutamakan peluang pekerjaan, kos sara hidup dan masa depan golongan muda.



