25,464 peserta berjaya lengkapkan proses latihan dalam program MyLesen B2 tahun ini

KUALA LUMPUR – Seramai 25,464 orang peserta untuk program MyLesen B2 telah melengkapkan keseluruhan proses latihan dan memperoleh Lesen Memandu Percubaan (PDL) B2 setakat ini, kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan kuota program berkenaan tahun ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan kerajaan telah menyediakan 30,000 kuota untuk pelaksanaan program berkenaan pada 2026 dengan peruntukan RM11.186 juta.

Menurut kementerian itu, 30,660 individu telah ditawarkan dan bersetuju menyertai program berkenaan iaitu 102.2 peratus daripada sasaran asal, dengan 28,785 peserta telah mendaftar di Institut Memandu.

“Pelaksanaan di 11 negeri telah mencapai 100 peratus, manakala baki peserta di negeri lain sedang menyelesaikan latihan dan ujian sebelum program ditutup pada 31 Okt 2026,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Kenyataan itu untuk menjawab soalan Ahli Parlimen (PH-Bukit Bendera) Syerleena Abdul Rashid tentang proses yang dilalui peserta Program MyLesen B2 dari peringkat permohonan hingga berjaya memperoleh lesen penuh serta sejauh mana pelaksanaan program itu dan MyB2S sehingga kini.

Bagi Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) yang menyasarkan pelajar sekolah menengah daripada keluarga B40 termasuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas, MOT memaklumkan sebanyak 50,642 pelajar telah ditawarkan penyertaan.

Daripada jumlah itu, 40,590 peserta masih aktif menjalani proses latihan di institut memandu yang ada di seluruh negara.

“Sebanyak 30,648 pelajar telah memperoleh LDL, manakala 7,157 pelajar berjaya melepasi keseluruhan proses sehingga memperoleh PDL B2.

“Angka ini akan terus meningkat kerana sebahagian besar peserta MyB2S pada masa ini masih berada dalam fasa latihan dan ujian praktikal,” menurut kementerian itu.

MOT berkata kerajaan menanggung kos kursus, latihan, ujian pertama serta sehingga dua kali ujian ulangan di bawah MyLesen B2, dengan proses untuk memperoleh PDL lazimnya mengambil masa tiga hingga lima bulan bergantung kepada kehadiran, jadual latihan dan komitmen peserta.

Walaupun pembiayaan disediakan sepenuhnya oleh kerajaan, kementerian menegaskan aspek penilaian tetap perlu dipatuhi tanpa sebarang kelonggaran.

“Prinsip kita mudah, kerajaan membantu dari segi kemampuan kewangan tetapi kompetensi dan keselamatan tidak boleh dikompromi,” menurut MOT.

MOT memaklumkan kedua-dua inisiatif berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan untuk memperoleh lesen tetapi juga bertujuann memastikan golongan muda dan B40 menerima latihan formal, memahami undang-undang jalan raya serta memiliki kompetensi asas sebelum menunggang di jalan raya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat