Kerajaan belum berhasrat tubuhkan REENAS, hak perlombongan dan royalti REE bawah bidang kuasa negeri – Arthur

KUALA LUMPUR – Kerajaan pada masa ini belum berhasrat untuk menubuhkan entiti khusus seperti Rare Earth National Corporation (REENAS) memandangkan hak perlombongan dan kutipan royalti mineral adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan terus menghormati prinsip federalisme serta memperkukuh penyelarasan bersama kerajaan negeri melalui platform sedia ada iaitu Majlis Mineral Negara (MMN).

Pada masa yang sama kata Arthur, kerajaan komited untuk membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri REE daripada aktiviti perlombongan dan pemprosesan sehingga penghasilan produk hiliran bernilai tinggi.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan negeri-negeri pengeluar memperoleh manfaat melalui kutipan royalti, pelaburan dan peluang pekerjaan, manakala rakyat Malaysia secara keseluruhannya menikmati limpahan ekonomi melalui pembangunan industri, pemindahan teknologi dan peningkatan hasil negara.

“Bagi memperkukuh pembangunan industri REE negara, antara langkah utama yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan termasuk -penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan REE bagi memastikan aktiviti perlombongan dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan lestari.

“Kerajaan telah menubuhkan Special Task Force Hala Tuju Pembangunan Industri REE yang diterajui oleh NRES dan dianggotai oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi membincangkan mengenai pembangunan industri ini secara lebih menyeluruh.

“Peruntukan sebanyak RM38.49 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) bagi melaksanakan pemetaan sumber REE untuk mendapatkan data sumber mineral yang lebih terperinci, termasuk mengenal pasti sumber yang berpotensi untuk dilombong (mineable resources) bagi menyokong perancangan serta menarik pelaburan.

“Penelitian terhadap insentif dan mekanisme pembiayaan yang bersesuaian bagi menggalakkan penyertaan lebih banyak syarikat dalam aktiviti huluan REE.

“Pengukuhan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan pihak dalam dan luar negara, khususnya dalam pembangunan teknologi perlombongan dan pemprosesan REE; dan penambahbaikan dasar larangan pengeksportan bahan mentah REE melalui penyediaan garis panduan yang membenarkan pengeksportan secara bersyarat bagi tujuan R&D serta pemprosesan, bagi menyokong pembangunan teknologi dan memperkukuh rantaian nilai industri tempatan,” katanya ketika ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar, di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut beliau, kerajaan berpandangan bahawa pembangunan industri REE tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti pengeluaran bahan mentah semata-mata, sebaliknya perlu memberikan penekanan kepada penguasaan teknologi pemprosesan, pembangunan industri hiliran dan penghasilan produk bernilai tinggi dalam negara.

“Matlamat kerajaan adalah untuk memastikan kekayaan sumber mineral negara diurus secara mampan, memberikan pulangan yang adil kepada negeri-negeri pengeluar serta menjana manfaat ekonomi yang lebih luas kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat