MELAKA – PKR mempertaruhkan tujuh muka baharu daripada sembilan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan, dengan memberi ruang lebih besar kepada golongan muda dan wanita.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, muka baharu membentuk 77.8 peratus daripada keseluruhan calon parti itu, manakala empat daripada sembilan calon merupakan golongan muda.
Menurutnya, PKR turut menampilkan tiga calon wanita, bersamaan 33.3 peratus daripada keseluruhan calon yang diketengahkan.
Beliau menegaskan pembaharuan politik bukan sekadar memperkenalkan muka baharu, sebaliknya membuka peluang kepada generasi muda dan wanita untuk memikul peranan kepimpinan lebih besar serta mewakili aspirasi rakyat.
Fuziah berkata, persiapan jentera parti di peringkat kawasan turut dipantau bagi memastikan PKR bersedia menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Sejak pengumuman calon, saya telah mengunjungi lapan pusat operasi pilihan raya DUN untuk menilai persiapan, bertemu petugas dan membantu menyelaras jentera kempen.
“Lawatan ini akan diteruskan sehingga esok bagi memastikan persiapan di peringkat kawasan berjalan lancar,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Pada Sabtu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan gabungan itu akan bertanding di 21 kerusi DUN Melaka.
Daripada jumlah tersebut, PKR diperuntukkan sembilan kerusi, DAP tujuh dan Amanah lima.
Tujuh muka baharu PKR ialah Mohd Yunazri Mustamiri yang bertanding di Tanjung Bidara, Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (Rembia), Denesh Palasubraniam (Asahan) dan Datuk Azman Abidin (Paya Rumput).
Turut disenaraikan ialah Muhammad Hakimin Mokhtar di Ayer Molek, Esma Eazreen Husin (Rim) serta Muhammad Faiq Azman (Serkam).
Dua lagi calon ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin yang kembali bertanding di kerusi sama, serta Farzana Hayani Mohd Nasir di Kelebang. – SUARATV/Bernama



