KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mencabar Pas untuk mengemukakan peruntukan undang-undang yang membuktikan bahawa Selangor melarang pengimportan babi hidup dari Sarawak atau negeri-negeri lain.
Tegas pemimpin DAP itu, tanpa asas undang-undang, jangan tuduh pihak lain melakukan pengkhianatan.
“Jangan jadikan isu pemakanan orang bukan Islam sebagai modal tawar-menawar politik.
“Apa yang dimakan dan diminum oleh orang Cina, selagi ia tidak melanggar undang-undang, bukanlah urusan Pas,” bidas Lip Eng dalam hantaran di Facebook beliau.
Kenyataan balas itu sebagai reaksi kepada gesaan Pemuda Pas Selangor memandang serius pendedahan media berhubung kemasukan ribuan ekor babi hidup setiap bulan melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu.
Menurut Naib Ketua Pemuda Pas Selangor Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, perkara ini telah menimbulkan keresahan awam serta pertikaian yang mendalam mengenai pematuhan pihak berkuasa dan kerajaan negeri terhadap titah Sultan Selangor.
“Sebagaimana kita semua sedia maklum, ultan Selangor telah menitahkan dengan jelas bahawa hanya daging babi yang diimport dibenarkan bagi memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam di negeri ini.
“Justeru, laporan terhadap kemasukan babi hidup dalam skala yang besar mencetuskan persoalan yang serius: Adakah aktiviti ini membelakangi titah Sultan?
“Pemuda PAS Selangor juga menzahirkan kebimbangan yang amat besar terhadap impak kebersihan, kesihatan awam, dan kelestarian alam sekitar di kawasan sekitar pelabuhan. Laporan mengenai sisa pembersihan dan isu pencemaran bau akibat proses pemindahan haiwan tersebut dari kapal ke lori telah mula menjejaskan ketenteraman komuniti nelayan setempat.
“Kawasan perairan Pelabuhan Klang merupakan lubuk rezeki bagi para nelayan kita. Sekiranya sisa kumbahan dan pembersihan pemunggahan babi hidup ini mengalir ke laut tanpa kawalan ketat, ia bukan sahaja berpotensi menjejaskan kualiti air malah bakal merosakkan ekosistem serta hasil tangkapan nelayan.
“Pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan kebajikan rakyat dikorbankan demi kepentingan perniagaan komersial yang derhaka dan jahat ini,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, Pemuda PAS Selangor mendesak Kerajaan Negeri Selangor untuk memberikan penjelasan segera kepada rakyat.
“Kami menuntut agar siasatan yang pantas dan pemantauan yang tegas dilakukan bagi memastikan tiada mana-mana pihak sengaja mencabar atau derhaka titah Sultan Selangor. Kerajaan negeri jangan bacul dan wajib ambil tindakan keras!
“Pemuda Pas Selangor beri amaran kepada Menteri Besar Selangor bahawa Kerajaan Negeri jangan ambil ringan isu ini dan jangan sesekali melindungi mereka yang khianat dan derhaka kepada Sultan Selangor atau PH Selangor akan menerima padahnya dan dihukum oleh rakyat dengan sekeras – kerasnya,” kata Faizzuddin.
Bagaimanapun, pengimportan babi hidup dari Sarawak ke Selangor sudah mendapat kelulusan sejak Julai 2025 dan dilaksanakan melalui lesen serta prosedur kawalan ketat, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.
Beliau berkata, ternakan yang dibawa masuk perlu dihantar terus ke pusat penyembelihan di Rawang tanpa dibenarkan singgah di lokasi lain.
“Keputusan ini merupakan antara langkah bagi membantu menstabilkan bekalan dan harga pasaran susulan gangguan terhadap industri penternakan akibat penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).
“Saya turut difahamkan bahawa satu prosedur operasi standard (SOP) yang ketat telah ditetapkan sejak awal bagi memastikan pengendalian ternakan di Pelabuhan Klang dilaksanakan secara terkawal dan teratur,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas kaedah pengendalian, Foong Hin menjelaskan pemunggahan hanya dibenarkan antara pukul 8 malam hingga 5 pagi dengan menggunakan sangkar khas. Ternakan kemudian dipindahkan terus ke lori untuk dibawa ke pusat penyembelihan berkenaan.
Katanya, langkah itu bertujuan memendekkan tempoh ternakan berada di pelabuhan, selain mengurangkan risiko pencemaran dan gangguan kepada kawasan sekitarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan dakwaan mengenai kesan operasi tersebut terhadap kebersihan dan sanitasi pelabuhan perlu mengambil kira SOP serta disokong bukti yang sahih.
“Saya amat kesal apabila dakwaan dan tuduhan dikemukakan tanpa penelitian terhadap fakta sebenar, malah ada cubaan untuk mengaitkan isu ini dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan dipolemikkan dengan maklumat yang tidak tepat,” jelasnya.
Foong Hin turut memaklumkan beliau melawat sebuah ladang penternakan babi moden di Simunjan, Sarawak, pada April lalu bagi meninjau operasi dan prosedur penghantaran ternakan hidup ke Singapura serta Selangor.
Menurutnya, lawatan itu merangkumi penelitian terhadap langkah biosekuriti dan penggunaan kapal pengangkut ternakan yang memenuhi spesifikasi ditetapkan.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang, Abdul Rahman Kachil, bahawa kira-kira 800 ekor babi hidup dibawa dari Kuching, Sarawak, setiap minggu sejak Julai lalu.
Laporan berkenaan menyatakan ternakan tiba menggunakan kapal sebelum dihantar ke sebuah premis yang dipercayai menjadi pusat penyembelihan.



