Potongan cukai menurun, gaji bersih M40 meningkat mulai tahun depan susulan peningkatan pelepasan cukai

KUALA LUMPUR – Langkah menaikkan kadar pelepasan cukai individu kepada RM12,000 daripada RM9,000 dalam Bajet 2027 diramalkan akan menyebabkan potongan cukai bulanan pembayar cukai berkurangan bermual Januari tahun depan.

Demikian menurut Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri Nurhisham Hussein.

Beliau berkata langkah itu akan memberi manfaat serta-merta terutamanya kepada golongan berpendapatan sederhana (M40), menerusi pengurangan potongan cukai bulanan daripada gaji mereka.

“Pelepasan cukai individu tidak pernah berubah selama 20 tahun, jadi saya berpendapat langkah itu sesuatu yang positif. Sebenarnya, itu antara perkara yang berjaya dilaksanakan kerajaan dalam tempoh tiga tahun lalu, sekali gus menyelesaikan banyak isu terkumpul.

“Maksud saya, gaji penjawat awam tidak diselaraskan selama kira-kira 15 tahun sebelum pelarasan dilaksanakan tahun lalu. Begitu juga dengan pencen, termasuk peralihan kepada KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang merupakan satu reformasi besar,” katanya ketika tampil dalam sesi podcast ‘Ngopi Dengan Zafrul’.

Nurhisham berkata kerajaan terus mengimbangi usaha penyatuan fiskal dengan langkah meringankan beban kos sara hidup rakyat, dalam menghadapi ketidaktentuan global susulan perang di Ukraine dan konflik di Asia Barat.

Beliau berkata, maklum balas orang ramai terhadap bajet itu secara umumnya positif, khususnya peluasan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang meliputi lebih banyak barangan keperluan asas, termasuk hasil segar dan ayam.

Nurhisham berkata, reformasi bagi sektor p-hailing dijangka dipertimbangkan tahun depan bagi memperkukuh kawal selia, meningkatkan perlindungan pekerja dan memastikan tahap pendapatan minimum terjamin.

Mengulas tentang perbelanjaan kerajaan, beliau Unit Pantau di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) memantau semua perbelanjaan kementerian berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI), mengenal pasti peruntukan yang kurang dimanfaatkan serta membantu menangani isu pelaksanaan.

Perbelanjaan berlebihan akan diteliti kerana kerajaan berusaha memastikan peruntukan digunakan secara berkesan, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang meneraju podcast itu menyifatkan Bajet 2027 sebagai belanjawan mesra rakyat dengan menyeimbangkan pemberian bantuan kepada rakyat.

Beliau berkata, pengurusan fiskal yang berhemah penting kerana perbelanjaan berlebihan boleh menjejaskan keyakinan pasaran dan membawa implikasi politik.

“Jika anda membuat keputusan yang tidak bertanggungjawab dari segi fiskal, pasaran akan menghukum anda dan boleh juga membawa implikasi politik. Kita telah menyaksikan pemimpin di seluruh dunia menerima akibat daripada pengurusan kewangan awam yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming turut tampil dalam episod pertama podcast itu yang berjudul ‘Budget 2027: Boleh Deliver Ke?’ yang dimuat naik di YouTube.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat