KUALA LUMPUR – Sebanya 30 buah motosikal disita dan 179 saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Motosikal yang dijalankan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di Bagan Ajam, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini berkata operasi yang dijalankan dari 5 petang semalam hingga 2 pagi tadi itu, melibatkan pemeriksaan terhadap 133 motosikal dan 145 individu bagi mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Operasi itu dijalankan di BORR kerana ia sering menjadi tumpuan penunggang motosikal berkumpul dan sebanyak 158 saman dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 21 notis, tiada tangkapan dibuat sepanjang operasi tersebut.
“Antara kesalahan dikesan ialah tiada lesen memandu (25 kes), nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (24), tidak mempamerkan lesen kenderaan motor (17), pengubahsuaian struktur atau peralatan motosikal (16) serta aksesori tidak sempurna (16),” katanya dalam kenyataan itu.
Anuar berkata pihak polis turut mengeluarkan saman kerana kesalahan lain antaranya mengubahsuai eksoz (15), tiada nombor pendaftaran (13), tiada cermin sisi (12), tiada perlindungan insurans (6), kesen kenderaan motor tamat tempoh (6), lesen tamat tempoh (5) dan brek tidak berfungsi dengan baik (3).
Anuar berkata pihak JPJ pula turut mengeluarkan lima notis teknikal, 14 notis saman dan dua notis sitaan bagi motosikal yang diubah suai secara ekstrem dan kesemua 30 motosikal disita atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


