KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu keputusan dan arahan lanjut Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung siasatan dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim kononnya dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi tanpa kerelaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan berhubung laporan polis yang dibuat Ismail telah dirujuk kepada AGC pada 29 September lalu untuk penelitian dan arahan selanjutnya.
Beliau berkata, setakat ini, PDRM telah merakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan berkenaan.
“Pada 29 September 2026, kertas siasatan ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk penelitian dan arahan selanjutnya.
“PDRM sedang menunggu keputusan serta arahan lanjut daripada pihak AGC berkenaan kertas siasatan tersebut. Sebarang tindakan dan siasatan lanjut pihak PDRM adalah tertakluk kepada hasil penelitian dan arahan daripada pihak AGC,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Cha Ke Chin (PH-Rasah) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini siasatan laporan polis dibuat Ismail pada 8 September 2026 berhubung dakwaan beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi tanpa kerelaan.
Saifuddin berkata, PDRM telah menerima laporan polis bernombor TELOK KEMANG/2389/26 dan membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.
Katanya, PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa PDRM akan menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.
Pada 9 Sept lepas, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi bagi memecat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.



