Pembatalan PN, jangan amal undang-undang rimba – Pemuda PAS

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia mempersoalkan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang didakwa membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) ketika prosiding mahkamah berhubung perkara itu dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober ini.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa keputusan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan wujudnya tekanan politik terhadap RoS sehingga tindakan pembatalan dibuat sebelum mahkamah mendengar permohonan PN.

Menurut beliau, tindakan itu amat mengejutkan memandangkan RoS sebelum ini telah mengeluarkan surat yang menyatakan bahawa isu berkaitan notis bertarikh 22 dan 23 September lalu akan dijawab melalui proses mahkamah.

“Apa yang peliknya, kes ini sepatutnya dibawa ke mahkamah pada 22 Oktober 2026, tetapi kenapa RoS begitu tergesa-gesa membuat keputusan?

“Jadi, kenapa tiba-tiba berubah? Siapa yang mendesak? Ada tangan-tangan tertentu yang sedang memberi tekanan kepada RoS?” soalnya dalam kenyataan media hari ini.

Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, mahkamah dijadualkan mendengar permohonan PN pada Khamis ini bagi menggantung keputusan RoS sementara proses semakan kehakiman diselesaikan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan keperluan RoS membuat keputusan lebih awal tanpa menunggu proses perundangan yang sedang berlangsung.

Menurutnya, tindakan sedemikian boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kebebasan dan profesionalisme institusi kerajaan, khususnya apabila keputusan membabitkan kedudukan sebuah gabungan parti politik pembangkang.

Beliau menegaskan bahawa RoS perlu bertindak secara profesional, bebas dan berintegriti tanpa dipengaruhi kepentingan politik mana-mana pihak.

“Jangan sampai institusi kerajaan dilihat seolah-olah menjadi alat untuk memenuhi kehendak politik pihak tertentu,” katanya.

Afnan berkata, Pemuda PAS memandang serius perkembangan berkenaan kerana sebarang tindakan pentadbiran yang dilihat mendahului proses mahkamah boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya benar terdapat campur tangan atau tekanan politik di sebalik keputusan itu, perkara berkenaan bukan sahaja boleh mencemarkan imej RoS, malah menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Menurutnya, undang-undang tidak seharusnya digunakan secara sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika tindakan berkenaan bertujuan melemahkan pihak lawan dalam persaingan politik.

“Pemuda PAS melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang sangat membimbangkan. Kita tidak mahu undang-undang digunakan sesuka hati, apatah lagi jika tujuannya untuk melemahkan lawan politik.

“Kalau benar ada tekanan politik di sebalik keputusan ini, maka ia bukan sahaja mencemarkan imej RoS, malah boleh merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara,” katanya.

Afnan turut mengingatkan bahawa rakyat mampu menilai perkembangan politik semasa, termasuk tindakan pihak berkuasa terhadap parti dan gabungan politik yang berbeza pendirian dengan kerajaan.

Katanya, usaha melemahkan PN tidak seharusnya dilakukan sehingga mengorbankan prinsip keadilan serta penghormatan terhadap proses undang-undang.

“Jangan kerana terlalu ghairah mahu melemahkan PN, akhirnya prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang pula yang dikorbankan,” katanya.

Beliau sekali lagi menggesa semua pihak menghormati proses mahkamah dan memastikan sebarang keputusan berkaitan pendaftaran pertubuhan dibuat berlandaskan undang-undang.

“Negara ini ada undang-undang. Hormatilah proses mahkamah. Jangan jadikan undang-undang rimba sebagai amalan!” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat