KUALA LUMPUR – Dua anggota polis yang mendakwa dicederakan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan memfailkan saman sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu secara peribadi tanpa membabitkan kerajaan sebagai defendan.
Peguam mewakili mereka, Kamal Hisham Ja’affar berkata, draf saman berkenaan sedang dimuktamadkan sebelum difailkan di mahkamah dalam tempoh 7 hari.
“Saman sivil ini hanya akan difailkan terhadap Shuhaily secara peribadi dan tidak membabitkan kerajaan Malaysia sebagai defendan,” katanya memetik BH pada Khamis.
Menurutnya, jumlah tuntutan ganti rugi bagi setiap anggota polis juga belum dapat ditentukan kerana pihaknya sedang menunggu laporan perubatan.
“Anggaran tuntutan boleh dibuat selepas menerima laporan perubatan,” katanya menjelaskan laporan perubatan itu diperlukan bagi membantu pihaknya menilai jumlah ganti rugi bersesuaian berdasarkan kecederaan dialami kedua-dua anggota polis berkenaan.
Semalam, Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketua Pengarah AKPS itu dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, 28 September lalu.
Beliau turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, di lokasi dan pada masa yang sama.
Shuhaily mengaku tidak bersalah dan dikenakan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan sebelum mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen pada 25 November depan.


