KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti untuk memfailkan notis rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan dalam masa terdekat berkait kes penulis blog, Papagomo dilepas dan dibebaskan sekali lagi oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menghasut dengan mengaitkan kerajaan yang sedang memerintah adalah pro-Israel dan negara barat 3 tahun lalu.
Dalam kenyataan pada Isnin, Jabatan Peguam Negara merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur (yang bersidang di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor) pada 19 Oktober 2026 yang telah melepaskan dan membebaskan tertuduh, Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) pada akhir kes pembelaan, bagi pertuduhan di bawah seksyrg 4(1Xb) Akta
Hasutan 1948 [Akta 15].
“Sebelum ini, pihak pendakwaan telah merayu terhadap keputusan terdahulu yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen yang sama pada 3 September 2025 yang mana telah melepaskan dan membebaskan tertuduh pada akhir kes pendakwaan. Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2025.
“Seterusnya, pada 31 Julai 2026, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan rayuan Pendakwa Raya dan memerintahkan tertuduh membela diri setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut secara prima facie.
“Tertuduh kemudian telah mengemukakan pembelaan dengan memberi keterangan secara bersumpah di Mahkamah Sesyen yang sama. Tertuduh sebagai satu-satunya saksi pembelaan telah mengakui mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan sepertimana dipertuduhkan dan hanya mengemukakan pembelaan berbentuk penafian semata-mata.
“Setelah meneliti keputusan Hakim Mahkamah Sesyen tersebut, Jabatan ini memutuskan untuk memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum itu, Hakim Siti Aminah Ghazali yang bersidang di Mahkamah Sesyen Klang memutuskan demikian selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap Papagomo.
Mengikut pertuduhan, Papagomo didakwa menyebut kata-kata menghasut yang antara lain mengaitkan kerajaan kini pro kepada Israel dan negara barat di laman sosial Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ yang kemudiannya dilihat oleh seorang lagi individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, di sini pada pukul 1 petang, 8 November 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda tidak melebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam Rafique Rashid Ali.
Pada 3 September 2025, Hakim Siti Aminah pernah melepas dan membebaskan Papagomo tanpa memanggilnya membela diri atas pertuduhan sama selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Pada Julai lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan lelaki itu membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.



