KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan tindakan Kerajaan Perpaduan membatalkan pendaftaran PN sebagai pendekatan ‘ala mafia’ yang tidak mencerminkan amalan demokrasi dalam sebuah negara.
Kata Sanusi, Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) didakwa terdesak menyekat kemaraan PN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sehingga mengambil tindakan drastik membatalkan pendaftaran gabungan itu.
“Jarang kerajaan di dunia ini membatalkan pendaftaran parti pihak lawan, kecuali kerajaan diktator dan komunis.
Malaysia ini ala mafia, mereka terdesak,” katanya memetik Kedah Online di Alor Setar pada Selasa.
Beliau berkata, tindakan berkenaan seolah-olah menggambarkan sebuah kerajaan yang mengamalkan pemerintahan diktator atau komunis, dengan menggunakan kuasa untuk membuat keputusan yang memberi kesan kepada kepentingan awam.
Sanusi berkata demikian ketika mengulas keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran PN serta implikasinya terhadap penggunaan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mengulas mengenai penggunaan logo bagi menghadapi PRN Melaka selepas pendaftaran PN dibatalkan, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, logo Pas boleh digunakan sebagai alternatif selepas PN tidak dibenarkan menggunakan lambang gabungan itu.
“PN boleh gunakan logo PAS untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka.
Sebelum ini pada 8 Oktober, Sanusi menegaskan penggunaan logo Pas antara alternatif sekiranya keputusan berkaitan status pendaftaran PN tidak memihak kepada gabungan itu.
Tambah beliau, penggunaan logo Pas tidak menjadi masalah memandangkan lambang parti itu sudah dikenali secara meluas oleh pengundi.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) hari ini memaklumkan keputusan membatalkan pendaftaran PN dibuat di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
Menurut RoS, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti maklum balas PN yang diterima pada 12 Oktober lalu susulan notis bertarikh 22 September 2026.
RoS berkata, penjelasan serta dokumen yang dikemukakan PN tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran seperti dinyatakan dalam notis berkenaan, selain mendapati gabungan itu gagal memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftarannya.
Pada 5 Oktober, Setiausaha Agung PN yang juga Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung notis cadangan pembatalan pendaftaran dan perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu.
Permohonan tersebut difailkan oleh lima setiausaha agung parti komponen PN sebagai pemohon.
RoS sebelum itu mengeluarkan perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.


