“Kalau upah dah naik, minyak dah turun tapi kerja masih lembap memang cari penyakitlah” – PM ingatkan penjawat awam

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada penjawat awam supaya tidak melengahkan pelaksanaan dasar kerajaan.

Beliau turut menegaskan keberkesanan Belanjawan 2027 bukan sekadar bergantung kepada perancangan rapi, sebaliknya keupayaan menterjemahkannya demi manfaat kepada rakyat.

Katanya, setiap keputusan kerajaan perlu dilaksanakan dengan pantas, beramanah dan penuh tanggungjawab, terutama selepas pelbagai langkah diambil bagi membantu rakyat termasuk penurunan harga minyak dan peningkatan bantuan serta gaji, memetik BH di Putrajaya pada Isnin.

Tegas beliau, kegagalan melaksanakan dasar dengan cekap hanya akan menjejaskan usaha kerajaan, meskipun perancangan dan peruntukan disediakan dengan teliti.

“Kalau upah dah naik, minyak dah turun dan ekonomi keadaannya menjadi begini, kita tak bersyukur, kerja masih lembap, masih lambat, surat yang boleh dijawab satu hari dah ambil masa dua minggu, itu memang cari penyakitlah.

“Sebab itu tanggungjawab kita dari KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) kepada Ketua Jabatan kepada Pengarah dan Ketua Pengarah harus ingat ini.

“Setiap kerja (harus) dilakukan dengan amanah,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan.

Anwar berkata, cabaran sebenar kerajaan bukan sekadar merangka belanjawan atau menyediakan dasar yang baik, tetapi memastikan setiap program dapat dilaksanakan sebaik mungkin tanpa ketirisan, rasuah atau kelewatan birokrasi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan berusaha mempercepat pelaksanaan beberapa inisiatif selepas pembentangan belanjawan, termasuk pembukaan pendaftaran Rumah MADANI, bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi serta pembangunan kediaman mahasiswa.

Beliau berkata, langkah itu perlu disusuli pemantauan berterusan bagi memastikan pelaksanaan program kerajaan berjalan mengikut perancangan.

Justeru, Anwar yakin Malaysia berupaya meningkatkan kekuatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang sekiranya seluruh jentera kerajaan memberikan tumpuan kepada pelaksanaan dasar secara cekap dan bersungguh-sungguh.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat