JAKARTA: Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) menghimpunkan 21 hospital terkemuka Malaysia menerusi Malaysia Healthcare Expo (MHX) Jakarta 2026 bagi memperluas akses masyarakat Indonesia kepada perkhidmatan rawatan dan pelancongan kesihatan di negara ini.
Ekspo yang berlangsung pada 15 hingga 18 Oktober di Laguna Atrium, Central Park Mall, Jakarta Barat itu menjadi penutup siri penganjuran MHX di Indonesia bagi tahun ini.
Dianjurkan pada skala lebih besar, acara berkenaan turut disertai Lembaga Pelancongan Sarawak dan Tourism Selangor bagi memperkenalkan pilihan destinasi serta pengalaman sepanjang berada di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Datuk Suriaghandi Suppiah berkata, keputusan mendapatkan rawatan di luar negara bukan sekadar melibatkan pemilihan hospital, malah bergantung pada kepercayaan dan keyakinan pesakit terhadap penjagaan yang bakal diterima.
“Apabila seseorang memilih untuk mendapatkan rawatan di negara lain, mereka bukan sekadar mencari sebuah hospital. Mereka mencari kepercayaan dan keyakinan bahawa mereka berada dalam jagaan yang selamat.
“Bagi pesakit antarabangsa, khususnya dari Indonesia, kami mahu mereka berasa selamat, selesa dan dekat dengan suasana di rumah sendiri, seperti ketenangan dalam pelukan seorang ibu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, menerusi Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 (MYMT 2026) dan tema “Healing Meets Hospitality”, MHTC mahu setiap pesakit serta keluarga mereka merasai layanan yang membina kepercayaan dan mencerminkan keprihatinan.
Sepanjang ekspo empat hari itu, pengunjung berpeluang bertemu secara langsung dengan wakil hospital untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan kesihatan, pilihan rawatan dan teknologi perubatan yang tersedia.
Pengunjung turut ditawarkan sesi konsultasi percuma bagi membincangkan keperluan kesihatan masing-masing, selain promosi dan tawaran istimewa daripada hospital yang mengambil bahagian.
Antara bidang kepakaran yang mendapat perhatian masyarakat Indonesia ialah perubatan dalaman, pembedahan ortopedik, kardiologi, onkologi klinikal serta gastroenterologi dan hepatologi.
Menerusi ekspo berkenaan, MHTC berharap pengunjung dapat memperoleh maklumat menyeluruh mengenai pilihan rawatan serta mendapatkan pandangan perubatan kedua sebelum membuat keputusan untuk menjalani rawatan.
Antara hospital yang menyertai MHX Jakarta 2026 ialah Island Hospital Pulau Pinang, yang merupakan hospital di bawah program Flagship Medical Tourism Hospital (FMTH) MHTC, Institut Jantung Negara (IJN), Mahkota Medical Centre dan Subang Jaya Medical Centre.
Turut mengambil bahagian ialah Alpha IVF & Women’s Specialists, Cengild G.I. Medical Centre, GenPrime Everlink Fertility Centre, Gleneagles Hospital Penang, Hospital Picaso, Ampang Puteri Specialist Hospital dan Damansara Specialist Hospital 2.
Penyertaan lain merangkumi KPJ Sabah Specialist Hospital, MSU Medical Centre, Northern Heart Hospital Penang, Optimax Eye Specialist Centre, Pantai Hospital Melaka, Penang Adventist Hospital dan Regency Specialist Hospital.
Tiga lagi ialah Sunway Medical Centre Damansara, Sunway Medical Centre Penang dan Sunway Medical Centre Sunway City Kuala Lumpur.
Penganjuran itu menyokong usaha memperkukuh industri pelancongan kesihatan Malaysia yang menerima kira-kira 1.85 juta pelancong kesihatan pada 2025, dengan hasil berjumlah RM3.35 bilion.
Pencapaian tersebut meningkat berbanding kira-kira 1.6 juta pelancong kesihatan dan hasil RM2.72 bilion yang direkodkan pada 2024.
Selain mendapatkan maklumat rawatan, pengunjung MHX Jakarta 2026 turut disajikan persembahan khas penyanyi Indonesia, GANGGA, bagi memeriahkan acara dan mengeratkan hubungan budaya antara kedua-dua negara.
Ekspo itu turut mendapat sokongan rakan strategik, termasuk Batik Air, JavaMifi, Le Méridien Petaling Jaya dan Maybank Premier, bagi memperkukuh kerjasama rentas sektor dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan.



