SUNGAI SIPUT – Seorang lelaki Orang Asli berusia 43 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai diserang harimau belang di Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput, Perak, semalam.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.30 petang pada 21 September.
Susulan aduan tersebut, PERHILITAN Perak menerusi Pejabat PERHILITAN Daerah Sungai Siput segera menggerakkan anggotanya ke lokasi bagi menjalankan operasi pencarian dan siasatan.
Operasi itu turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk setempat.
“Berdasarkan maklumat dan pemerhatian awal di lokasi, mangsa seorang lelaki berusia 43 tahun telah ditemukan di kawasan berhampiran jalan balak.
“Pemerhatian awal turut mendapati terdapat kesan pergelutan di lokasi yang dipercayai berkaitan dengan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut PERHILITAN, lokasi mangsa ditemukan terletak kira-kira 200 meter dari kawasan yang mempunyai kesan pergelutan.
Bagaimanapun, jabatan itu menegaskan siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan punca dan keadaan sebenar kejadian.
Sebarang kesimpulan lanjut hanya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan serta bukti yang ditemukan di lapangan.
PERHILITAN turut melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan berkenaan bagi mengenal pasti tanda kehadiran harimau belang, selain mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat.
Perangkap juga akan dipasang di lokasi yang dikenal pasti sesuai, manakala tindakan pengurusan selanjutnya akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan dan penilaian risiko terhadap keselamatan penduduk.
Kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), PDRM, pihak berkuasa negeri dan komuniti setempat akan terus diperkukuh bagi menangani konflik manusia dengan hidupan liar.
Pada masa sama, penduduk sekitar dinasihatkan supaya meningkatkan kewaspadaan dan tidak memasuki kawasan hutan atau lokasi yang mempunyai tanda kehadiran harimau belang, terutama secara bersendirian.
Orang ramai juga diminta supaya tidak menghampiri, mengejar, menangkap atau mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan.
Sebarang penampakan atau tanda kehadiran harimau seperti kesan tapak kaki, bunyi ngauman atau bangkai haiwan boleh dilaporkan kepada PERHILITAN menerusi talian 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam di laman sesawang rasmi jabatan.
PERHILITAN turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan bahawa langkah sewajarnya akan diambil bagi mengurangkan risiko konflik manusia dengan hidupan liar di kawasan berkenaan.



