KUALA LUMPUR- Kediaman yang dijadikan penjara perlu diubah suai seperti keadaan penjara sebenar dan tidak boleh menempatkan sebarang peralatan dianggap sebagai senjata seperti benda tajam yang boleh mencederakan diri sendiri atau petugas.
Rumah yang sudah diwartakan sebagai penjara perlu berfungsi seperti struktur penjara sepenuhnya, termasuk hanya boleh didiami oleh banduan bersama kakitangan penjara, selain menempatkan pagar keselamatan dan mesin pengimbas.
Itu antara gambaran diberikan Peguambela dan Peguamcara Kanan, Datuk Shamsuddin Nawawi, terhadap mana-mana rumah atau bangunan yang sudah diwartakan sebagai penjara mengikut Akta Penjara 1995, menurut laporan BH.
“Kalau rumah dijadikan penjara, segala peraturan penjara perlu dikuatkuasakan. Penjara ialah kawasan larangan dan kawasan keselamatan. Jadi, semua prosedur operasi standard (SOP) perlu diikuti.
“Contohnya jika rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai pagar yang mengikut standard penjara, pagar perlu perlu dipasang.
“Selain itu, banduan sahaja yang boleh duduk, bukan penghuni lain. Kalau dalam kes Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor tidak boleh duduk sekali di rumah sama.
“Penjara ialah tempat banduan menjalani hukuman. Kalau rumah itu sudah diwartakan sebagai penjara, hanya banduan sahaja yang boleh ditahan di situ. Orang yang bukan banduan tidaklah wajar ditempatkan di penjara,” katanya memetik akhbar itu.
Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, sekiranya beliau membayar denda RM50 juta yang ditetapkan mahkamah.
Pada masa sama Shamsuddin berkata, orang awam perlu mengikiskan persepsi Najib duduk di rumahnya seperti individu lain termasuk memperoleh kebebasan memasak atau melayari internet.
Katanya, jika berdasarkan peraturan penjara sedia ada, mana-mana pelawat yang ingin mengunjungi Najib juga perlu melalui prosedur seperti melalui mesin pengimbas dan merekod kedatangan di buku pelawat.
“Penjara satu kawasan keselamatan. Jadi, sebarang bentuk penjara biarpun benda tajam yang boleh mencederakan juga tidak boleh dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana rumah atau kediaman boleh diwartakan sebagai penjara berdasarkan Seksyen 3 Akta Penjara yang menyatakan menteri mempunyai kuasa untuk mewartakan mana-mana rumah atau bangunan untuk dijadikan penjara.
Sehingga kini, katanya, Malaysia tiada prosedur atau kaedah untuk menjadikan sesebuah rumah itu sebagai penjara.
Shamsuddin berkata, disebabkan negara ini belum menggubal peraturan berhubung perkara itu, prosedur penjara di rumah sepatutnya mengikut peraturan sedia ada seperti yang diamalkan di penjara biasa.
“Sekarang tiada peraturan sama ada penjara di rumah itu perlu sama dengan penjara biasa, atau longgar sikit (peraturannya).
“Perkara ini iaitu peraturan dan kaedah menjadikan rumah sebagai penjara itu boleh dibuat tanpa perlu dibentangkan di Parlimen. Itu bidang kuasa menteri dan ketua pengarah penjara sahaja,” katanya.


