Premium RM1,000 bukan keistimewaan, KLSCAH lepaskan potensi pembangunan komersial – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Keputusan mengenakan premium tanah RM1,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) bukan keistimewaan kepada mana-mana kaum, sebaliknya mengambil kira kesediaan institusi itu menukar status tanah kepada kegunaan institusi sekali gus melepaskan potensi pembangunan komersial bernilai tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menjelaskan, perubahan status itu bermakna tanah berkenaan tidak lagi mempunyai potensi pembangunan seperti kondominium atau pusat beli-belah yang boleh memberikan nilai komersial lebih tinggi.

“Kenapa RM1,000 sahaja? Sebab KLSCAH rela menukar status tanah kepada tanah institusi yang menyebabkan mereka kehilangan potensi pembangunan tinggi seperti kondominium atau pusat beli-belah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan pemimpin Umno dan Pas yang mendakwa kerajaan sepatutnya mengutip premium tanah sehingga RM4 juta, selain membangkitkan persoalan mengenai layanan diberikan kepada KLSCAH.

Hannah turut menolak cubaan mengaitkan isu premium tanah itu dengan kadar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), sambil menegaskan kedua-duanya melibatkan kategori bayaran berbeza.

Menurutnya, premium tanah dibayar kepada kerajaan berdasarkan syarat dan potensi kegunaan tanah, cukai tanah kepada pejabat tanah, cukai taksiran kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), manakala cukai pendapatan dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Sewa PPR pula dibayar kepada pemilik rumah. Letihlah nak ajar pemimpin UMNO dan PAS untuk bezakan cukai yang pelbagai,” katanya.

Beliau berkata, KLSCAH berdepan defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000 berikutan peningkatan kos penyelenggaraan, keadaan struktur bangunan yang semakin berusia serta keperluan menaik taraf sistem keselamatan dan kemudahan teknikal.

Bangunan berusia 103 tahun itu diwartakan sebagai bangunan warisan pada 2007.

Menjawab dakwaan kerajaan memberikan layanan istimewa kepada KLSCAH, Hannah berkata DBKL turut memberikan diskaun sewa 50 peratus kepada kira-kira 10,000 peniaga di Kuala Lumpur selama dua tahun.

“Di Kuala Lumpur, kita jaga semua tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah mengkritik pihak yang mempertikaikan keputusan mengekalkan status institusi tanah berkenaan, sambil membangkitkan kepentingan memelihara bangunan warisan dan aset bersejarah ibu negara.

Beliau turut membandingkan kritikan terhadap keputusan itu dengan peruntukan RM600 juta bagi kerja pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Hannah juga membangkitkan isu penjualan padang awam dan kolam takungan banjir ketika pentadbiran terdahulu sebagai perbandingan terhadap pendekatan pengurusan aset dan tanah awam di Kuala Lumpur.

Kontroversi itu sekali gus memperlihatkan pertembungan antara tuntutan memaksimumkan hasil premium tanah dengan usaha mengekalkan fungsi institusi serta nilai warisan bangunan bersejarah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat