KUALA LUMPUR – Penyatuan dalam kalangan orang Melayu merupakan satu-satunya jalan untuk mengembalikan kuasa dan kedudukan politik bangsa itu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, kewujudan pelbagai parti politik Melayu ketika ini tidak menjadikan kedudukan politik orang Melayu semakin baik, sebaliknya menyebabkan kuasa politik bangsa itu semakin lemah.
“Penyatuan Melayu adalah satu-satunya cara kita mengembalikan kuasa dan kedudukan politik orang Melayu.
“Tiada jalan lain untuk mengembalikan kuasa politik Melayu kecuali dengan kesatuan dalam kalangan orang Melayu itu sendiri.
“Hari ini, di sebalik kebanjiran pelbagai parti politik Melayu, kuasa dan kedudukan politik orang Melayu tidak semakin baik. Malah semua kebanjiran ini melemahkan kedudukan politik Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Menurut Khaled, penyatuan Melayu yang diusahakan UMNO bukan sekadar slogan atau penjenamaan politik, sebaliknya merupakan iltizam untuk mengukuhkan kedudukan bangsa Melayu merentasi usia dan ideologi politik.
Katanya, usaha itu juga memerlukan kesediaan untuk melupakan kekhilafan lalu atas kesedaran bahawa menyatukan bangsa merupakan tuntutan agama dan Perlembagaan.
“Maka jika Melayu itu berpecah, maka semangat sebenar Perlembagaan itu juga akan tergelincir.
“Apabila orang Melayu sendiri tidak bersatu, ia akan menyukarkan segala usaha Perlembagaan itu diterjemah dan dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Khaled berkata UMNO mahu penyatuan tersebut membawa kepada pemusatan semula kuasa politik Melayu secara terpadu supaya politik Melayu kembali kuat dan kukuh.
Beliau turut menegaskan penyatuan Melayu yang diperjuangkan UMNO tidak seharusnya dilihat sebagai gerakan bersifat perkauman atau ancaman kepada kaum lain.
Sebaliknya, katanya, usaha itu perlu diterjemahkan dengan cara yang menimbulkan rasa hormat, kebersamaan dan selamat serta bukannya melalui pendekatan ekstrem atau tidak rasional.
“Tugas kita ialah meyakinkan semua bahawa penyatuan orang Melayu tidak pernah dan tidak akan sesekali dibina dengan menjatuhkan orang lain,” katanya.


