ARMADA BERSATU sahkan CSA dengan Kerajaan MADANI, tegas agenda Bumiputera tidak boleh dikompromi

KUALA LUMPUR – ARMADA BERSATU Malaysia mengesahkan penandatanganan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) antara enam Ahli Parlimen BERSATU dengan Kerajaan MADANI hari ini, sambil menegaskan agenda pemerkasaan Bumiputera kekal sebagai tuntutan utama yang tidak boleh dikompromi.

Ketua Penerangan ARMADA BERSATU, Harris Idaham Rashid berkata, perjanjian itu berlandaskan empat prinsip utama iaitu kepentingan negara, kesejahteraan rakyat, kestabilan politik dan keutuhan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, ARMADA mendukung keputusan kepimpinan pusat parti dalam menjayakan kerjasama berstruktur tersebut, khususnya bagi memastikan kestabilan politik dan kebajikan rakyat terus terpelihara dalam menghadapi cabaran geoekonomi semasa.

“ARMADA menegaskan bahawa Agenda Pemerkasaan Bumiputera telah dipastikan oleh BERSATU untuk termaktub secara substantif sebagai instrumen utama yang tidak boleh dikompromi dalam perjanjian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harris berkata, tuntutan itu bertujuan memastikan kepentingan Bumiputera dalam sektor ekonomi, ekuiti pendidikan dan peluang sosioekonomi terus dilindungi serta diperkasakan menerusi dasar Kerajaan Persekutuan.

Selain agenda Bumiputera, beliau berkata, BERSATU turut menjadikan reformasi institusi sebagai antara syarat utama dalam perjanjian berkenaan.

Katanya, dua pembaharuan penting yang dituntut ialah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bagi mengelakkan pemusatan kuasa serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk menjamin kebebasan sistem perundangan daripada campur tangan politik.

Beliau mendakwa BERSATU berjaya meletakkan syarat pelaksanaan kedua-dua reformasi tersebut sebagai sebahagian daripada komitmen yang terkandung dalam CSA.

Harris berkata, langkah itu mencerminkan kesediaan BERSATU mengamalkan pendekatan politik matang yang mengutamakan kepentingan negara berbanding persaingan kepartian.

“ARMADA BERSATU percaya bahawa politik matang harus berteraskan semak dan imbang yang objektif.

“Perjanjian CSA ini menjadi bukti komitmen berprinsip BERSATU dalam mengutamakan kepentingan nasional mengatasi percaturan politik kepartian demi masa depan Malaysia yang lebih stabil dan telus,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan ARMADA tidak memperincikan bentuk sokongan yang akan diberikan oleh enam Ahli Parlimen berkenaan kepada kerajaan, termasuk mekanisme pelaksanaan tuntutan reformasi institusi dan agenda Bumiputera yang dipersetujui.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat