KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor menjalankan siasatan atas dakwaan pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor selepas sungai berkenaan didakwa bertukar warna menjadi putih dalam satu kejadian yang tular di media sosial semalam.
Pengarah JAS Johor Dr Mohd Famey Yusoff berkata siasatan dijalankan sebaik pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu.
Katanya, keadaan sungai didapati kembali normal dan tidak lagi berwarna putih ketika pegawai JAS sampai ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan.
“Apabila sampai di lokasi, sungai sudah tidak berwarna putih lagi. Jadi, kemungkinan kejadian itu berlaku akibat pembuangan bahan ke dalam sungai secara sekali sahaja,” katanya.
Menurut beliau, JAS negeri Johor bersama pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan meneliti rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang disyaki bagi
Beliau berkata, JAS Johor bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang disyaki bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang dikenal pasti melakukan pencemaran mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
Sebelum ini, dalam platform Threads, seorang penggunanya Nasrul Nordin berkongsi beberapa gambar yang didakwa menunjukkan pencemaran di sungai berkenaan, yang terletak di jalan pintasan antara Taman Pasir Putih dengan Kota Masai, Pasir Gudang.
Kejadian itu dipercayai berlaku semalam dan didakwa menjadi punca pencemaran bau di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang sejak malam tadi.
Rata-rata pengguna media sosial melahirkan rasa kesal berhubung kejadian itu yang didakwa berlaku beberapa kali, selain menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Sungai Kim Kim pernah menjadi lokasi tragedi pencemaran sisa toksik pada 7 Mac 2019 yang menggemparkan negara apabila lebih 2,000 orang terjejas kesihatan, manakala 111 sekolah di Pasir Gudang terpaksa ditutup.



