Kerjasama BN-PN berpotensi cetus ketegangan, MCA dan MIC berisiko hilang kerusi tradisi – Kesavan

KUALA LUMPUR — Cadangan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan parti komponen BN, khususnya MCA dan MIC, sekiranya pembahagian kerusi menyebabkan mereka kehilangan kawasan yang selama ini menjadi kubu tradisi.

Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam, berkata kerjasama berkenaan boleh memberi kesan kepada peluang MCA dan MIC untuk bertanding apabila kerusi tertentu berkemungkinan diperuntukkan kepada parti lain, termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

“Ini jelas menunjukkan bahawa penggabungan ini tidak memberikan keuntungan kepada parti-parti seperti MIC dan MCA.

“Kerusi-kerusi yang selama ini menjadi kawasan tradisi mereka mungkin diberikan kepada parti lain, termasuk Gerakan dan MIPP.

“Jadi, nampaknya penyatuan ini, dalam diam, tidak menyenangkan MCA khususnya,” katanya ketika diminta mengulas tindakan wakil MCA meninggalkan majlis pengumuman calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu.

Menurut Kesavan, insiden itu mencerminkan kemungkinan wujudnya rasa tidak puas hati terhadap rundingan pembahagian kerusi, terutama apabila kepentingan parti komponen perlu diselaraskan dengan tuntutan rakan gabungan lain.

Beliau berkata keadaan tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai kedudukan MCA dan MIC sekiranya kerjasama BN-PN diteruskan tanpa penyelesaian yang memuaskan semua pihak.

Bagaimanapun, Kesavan berpandangan MCA mungkin akan terus bersama BN atas pertimbangan kelangsungan politik dan kepentingan mengekalkan pengaruh dalam landskap politik negara.

Beliau turut merujuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dilaporkan akan mengadakan rundingan dengan MCA bagi menangani ketidakpuasan hati berhubung pembahagian kerusi.

Menurutnya, rundingan lanjut penting bagi memastikan kepentingan parti komponen diambil kira dan mengelakkan perselisihan dalaman daripada berlarutan.

“Walaupun nampak keretakan itu, mungkin mereka akan berusaha untuk memulihkan kekecewaan MCA.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pun telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan berunding dengan MCA,” katanya.

Kesavan berkata penyelesaian melalui rundingan diperlukan bagi mengekalkan persefahaman antara parti komponen, khususnya menjelang pilihan raya.

“Kalau perkara ini tidak diselesaikan, ia boleh menjejaskan semangat kerjasama dalam BN. Parti-parti komponen perlu diberikan keyakinan bahawa kepentingan mereka masih diambil kira dalam sebarang rundingan pembahagian kerusi,” katanya.

Tindakan MCA meninggalkan majlis pengumuman calon BN itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai cabaran yang perlu dihadapi sekiranya rundingan kerjasama BN-PN diteruskan, khususnya dalam menentukan pembahagian kerusi dan menjaga kepentingan parti komponen.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat