KUALA LUMPUR – Pengumpulan data lokasi secara berterusan menerusi aplikasi navigasi asing berisiko mendedahkan maklumat strategik negara apabila corak pergerakan pengguna dianalisis dan digabungkan dengan sumber maklumat lain.
Pakar Keselamatan Siber yang juga mantan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, risiko itu lebih sensitif apabila membabitkan pergerakan pegawai kanan kerajaan dan akses ke kemudahan keselamatan.
Menurutnya, aplikasi navigasi lazimnya mengumpul sejarah perjalanan, cap masa, alamat IP, data sensor peranti serta destinasi yang kerap dikunjungi pengguna.
Walaupun setiap rekod mungkin kelihatan tidak sensitif secara berasingan, pengumpulan berterusan boleh membentuk profil pergerakan digital yang mendedahkan lokasi kediaman, tempat kerja dan rutin seseorang.
“Di sinilah konsep pengumpulan dan inferens data menjadi sangat penting. Sebagai contoh, pergerakan konsisten seorang pegawai kanan kerajaan dari rumah ke kementerian, lokasi mesyuarat keselamatan dan lapangan terbang boleh memberikan gambaran mengenai peranan, hubungan profesional serta keutamaan operasi individu berkenaan.
“Risiko menjadi lebih sensitif apabila data lokasi ini digabungkan dengan data terbuka seperti jawatan dan organisasi,” katanya kepada Bernama.
Amirudin berkata, penggunaan analitik moden dan kecerdasan buatan (AI) membolehkan data lokasi biasa diproses menjadi maklumat risikan, termasuk mengenal pasti kekerapan pertemuan serta waktu keluar masuk penjawat awam di kemudahan sensitif.
Mengulas isu kedaulatan digital berkaitan undang-undang entiti asing yang mengawal aplikasi Waze, beliau berkata kerajaan perlu mengetahui dengan jelas pihak yang mengawal data, lokasi pemprosesannya serta bidang kuasa perundangan yang terpakai.
Menurutnya, usaha melindungi kedaulatan digital tidak bermaksud Malaysia perlu menolak semua teknologi luar.
Beliau menyifatkan larangan penggunaan Waze bagi urusan rasmi penjawat awam sebagai langkah pencegahan munasabah, namun menegaskan ia perlu disokong penilaian risiko yang telus dan alternatif tempatan yang benar-benar matang.
“Pendekatan yang tepat adalah kedaulatan digital melalui penilaian risiko, bukan sekadar mengharamkan aplikasi berasaskan siapa pemiliknya semata-mata,” katanya.
Sementara itu, Pakar Transformasi Digital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Nurhizam Safie berkata, pemetaan jalan terpencil dan strategik melalui data penyumberan ramai pengguna aplikasi navigasi asing turut berpotensi menimbulkan ancaman dari sudut taktikal perang dan geopolitik serantau.
Menurutnya, sekiranya berlaku konflik, data pemetaan yang berada dalam kawalan entiti asing berupaya digunakan untuk perancangan taktikal pencerobohan tanpa disedari.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperkukuh kerjasama dengan agensi teknikal tempatan, khususnya Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), bagi mengurangkan kebergantungan kepada penyedia perkhidmatan luar.
“JUPEM mempunyai pangkalan data pemetaan dan geospatial negara yang sangat lengkap. Usaha pemerkasaan aplikasi alternatif tempatan wajar menjalinkan kerjasama rapat dengan mereka.
“Melalui inisiatif seperti GovTech di bawah Jabatan Digital Negara, kita boleh memanfaatkan data pemetaan JUPEM dan infrastruktur satelit sendiri untuk membangunkan perisian aplikasi yang benar-benar berdaulat dan kekal di bawah pengawasan kerajaan,” katanya.
Nurhizam turut menyarankan kerajaan memaksimumkan penggunaan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) di Putrajaya bagi menempatkan pemprosesan data secara dalaman.
Katanya, langkah itu dapat membantu memastikan data pengguna aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu tidak dipindahkan, disimpan atau dikawal pihak ketiga melalui penggunaan pelayan pangkalan data di luar negara.
Beliau berkata, peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) juga wajar diteliti dan diperketatkan, khususnya berhubung peraturan lokalisasi data serta prosedur pemindahan data rentas sempadan.
“Kita tidak mempunyai pilihan selain meletakkan kepercayaan kepada bakat tempatan untuk membangunkan perisian, perkakasan dan sistem pelayan negara secara mandiri bagi memastikan matlamat kedaulatan digital menjelang 2030 benar-benar tercapai,” katanya.
SuaraTV/BERNAMA



