KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi isyarat mahu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal kerana bimbang parti itu akan semakin lemah sekiranya menunggu sehingga tamat penggal.
Ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, beliau tidak bersetuju dengan cadangan seorang perwakilan supaya kerajaan sedia ada dikekalkan sehingga habis penggal.
“Saya khuatir jika kita tunggu habis penggal, mungkin kita dihabiskan dulu. Bagaimanapun, kita serahkan kepada kebijaksanaan Presiden UMNO,” katanya.
Mohamad turut mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli supaya bekerja keras memperkukuh UMNO sehingga parti itu kembali menjadi kekuatan politik yang disegani.
Menurut beliau, UMNO tidak boleh bergantung pada ihsan mana-mana parti untuk kembali kuat, meskipun kerjasama politik masih penting dalam menghadapi pilihan raya.
“Kerjasama politik penting, tetapi jangan sampai kita dilihat meminta ihsan orang lain.
“Tiada parti politik yang akan membantu UMNO untuk kembali kuat. Kita sendiri yang mesti memperkuatkan parti,” katanya.
Kenyataan itu memberi gambaran bahawa kepimpinan UMNO perlu segera mempersiapkan jentera dan memperkukuh sokongan akar umbi, tanpa terlalu bergantung pada kedudukannya dalam kerajaan atau kerjasama dengan parti lain.



