KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata keputusan Anthony Loke melepaskan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan menetapkan contoh teladan yang baik untuk akauntabiliti politik dan harus menjadi contoh kepada pemimpin politik lain.
Kian Ming bagaimanapun berkata, bahawa beliau berasa sedih kerana Loke merasakan beliau perlu melepaskan jawatan tersebut selepas kehilangan kerusi Chennah.
Beliau juga berkata Loke telah berjuang dalam satu kawasan pilihan raya yang hanya sedikit orang lain dalam parti itu yang mampu menang.
“Tetapi ia adalah preseden (duluan) yang baik untuk pemimpin politik lain ikuti dari segi bertanggungjawab terhadap keputusan pilihan raya,” katanya menurut theSun di George Town.
Tambah Kian Ming, Loke dapat membuat keputusan itu kerana parti DAP mempunyai pemimpin yang berkemampuan sedia untuk mengambil alih.
“Saya juga fikir Loke tahu ada pengganti yang mampu di Negeri Sembilan sebelum beliau mengambil langkah ini.
“Adalah baik untuk DAP menyerahkan tampuk kepimpinan dari seorang pemimpin kepada pemimpin lain dengan cara yang sistematik dan teratur,” ujarnya.
Kian Ming berkata, membina semula DAP di Negeri Sembilan memerlukan lebih daripada sekadar perubahan kepimpinan.
“Ia akan mengambil satu pasukan baru sepenuhnya untuk membina semula DAP sebelum ia dapat menghapuskan imej sebagai anti-Melayu dan menjadi rakan kongsi dominan dalam Pakatan Harapan(PH) di Negeri Sembilan,” katanya.
Apabila ditanya sama ada ketua-ketua parti negeri lain harus mengikuti contoh Loke selepas keputusan pilihan raya yang buruk, Kian Ming berkata setiap kes harus dinilai mengikut keadaan politiknya sendiri.
“Setiap ketua negeri perlu membuat keputusan mereka sendiri berdasarkan landskap politik negeri mereka,” jelasnya.
Pada 3 Ogos, Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas 22 tahun memegang jawatan tersebut, dengan mengatakan bahawa beliau ingin mengambil tanggungjawab terhadap prestasi parti dalam pilihan raya negeri.
Beliau berkata keputusan itu dibuat secara sukarela dan tanpa tekanan daripada parti, sambil menambah bahawa sudah tiba masanya untuk menyerahkan kepimpinan negeri kepada pemimpin lain.
Namun, Loke akan kekal sebagai Setiausaha Agung DAP selaras dengan keputusan Jawatanku Kuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti.



