WAWASAN bukan BERSATU 2.0, mahu jadi jambatan satukan kekuatan politik

SEREMBAN – Parti Wawasan Negara (WAWASAN) bukan ditubuhkan sebagai “BERSATU 2.0”, sebaliknya mahu menjadi jambatan yang menyatukan pelbagai kekuatan politik demi membentuk kerjasama lebih kukuh dalam landskap politik negara.

Pengerusi Penaja Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) berkata, transformasi daripada Parti Cinta Malaysia kepada WAWASAN bertujuan membina sebuah parti yang lebih inklusif, terbuka kepada semua kaum serta berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, parti itu turut membawa gagasan Muafakat Baharu (New National Consensus) yang diasaskan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai usaha mencari titik pertemuan antara pelbagai kekuatan politik.

“Wawasan hadir sebagai penghubung. Kalau tidak mampu menjadi setinggi awan yang meredupkan gunung, kami bersedia menjadi serendah jambatan untuk menghubungkan kedua-duanya,” katanya dalam Wawancara Eksklusif Mandat Negeri Sembilan bersama Suara TV.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan mewujudkan kerjasama politik yang lebih stabil dengan meletakkan kepentingan rakyat, negeri dan negara mengatasi kepentingan parti.

Mengulas penyertaan WAWASAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Chegubard berkata parti itu diberikan empat kerusi selepas melalui proses rundingan yang panjang dan mencabar bersama parti-parti yang bekerjasama.

Menurutnya, antara prinsip utama rundingan ialah mengelakkan pertandingan sesama sendiri serta menghormati penyandang sedia ada bagi memastikan peluang membentuk kerajaan menjadi lebih realistik.

“Kepentingan jemaah kita letakkan ke tepi, kepentingan ummah kita letakkan di hadapan,” katanya.

Beliau berkata, simulasi pilihan raya yang dijalankan menunjukkan pertandingan tiga penjuru hanya akan memecahkan undi pembangkang dan akhirnya memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan untuk terus mentadbir Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, katanya, selepas mengambil kira kekuatan parti, calon serta kajian sikap pengundi, WAWASAN akhirnya diperuntukkan empat kerusi untuk ditandingi pada PRN kali ini.

Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai sesuatu yang positif memandangkan WAWASAN merupakan parti yang baharu melalui proses penjenamaan semula, namun berjaya memainkan peranan sebagai penghubung dalam rundingan politik antara parti-parti yang bekerjasama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat