Bersatu, Syed Saddiq kekal pembangkang tapi sokong Belanjawan 2027 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan MADANI hari ini akan kekal sebagai pembangkang, namun bersetuju menyokong Belanjawan 2027 dan agenda reformasi institusi.

Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, persefahaman itu membuktikan perbezaan politik bukan penghalang kepada kerjasama demi kepentingan rakyat.

“Hari ini, Kerajaan MADANI memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BERSATU serta beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain, termasuk Syed Saddiq daripada MUDA.

“Mereka kekal sebagai pembangkang, tetapi bersetuju menyokong Belanjawan dan reformasi institusi yang penting. Kawasan mereka pula akan menerima peruntukan setara untuk manfaat rakyat,” katanya menerusi hantaran media sosial.

CSA yang dimeterai hari ini melibatkan 13 Ahli Parlimen, terdiri daripada enam wakil Bersatu, enam Ahli Parlimen Bebas dan Presiden MUDA merangkap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perjanjian itu membolehkan mereka mengekalkan kedudukan sebagai pembangkang sambil memberikan sokongan terhadap Belanjawan 2027 dan reformasi institusi tertentu, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Tengku Zafrul turut berseloroh mengenai komitmen Syed Saddiq dengan membandingkan debaran ketika melafazkan akad nikah dengan Bella dan tanggungjawab terhadap penduduk Muar.

“Yang satu janji untuk membina masa depan bersama pasangan, yang satu lagi komitmen untuk masa depan penduduk Muar,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kepentingan rakyat perlu mengatasi perbezaan pendirian politik.

“Dalam politik, kita tak semestinya sependapat dalam semua perkara. Tapi bila melibatkan kepentingan rakyat, kita mesti boleh bekerjasama,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat