Aminuddin antara Menteri Besar paling lemah dalam sejarah Negeri Sembilan – CheguBard

SEREMBAN – Pengerusi Penaja Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) menyifatkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai antara Menteri Besar paling lemah dalam sejarah negeri itu kerana didakwa gagal memimpin negeri dengan hala tuju pembangunan yang jelas.

Beliau mendakwa kelemahan tersebut bukan sahaja melibatkan aspek kepimpinan dan pentadbiran, malah turut membabitkan pengurusan isu rakyat serta hal berkaitan adat istiadat negeri.

“Pada pandangan saya, Menteri Besar yang ada merupakan antara Menteri Besar paling lemah dalam sejarah Negeri Sembilan, sama ada daripada sudut kepimpinan mahupun pentadbiran.

“Daripada masalah rakyat sehinggalah kepada isu pentadbiran dan adat istiadat, semuanya berada dalam keadaan bercelaru,” katanya dalam Wawancara Eksklusif Mandat Negeri Sembilan bersama Suara TV.

Menurut Chegubard, kerajaan negeri juga terlalu banyak menumpukan kepada pengumuman angka pelaburan yang besar, namun mempersoalkan sejauh mana pelaburan tersebut benar-benar diterjemahkan kepada pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Sebagai contoh, beliau membangkitkan projek hospital neuro di Pedas yang pernah diumumkan sebelum ini, tetapi mendakwa sehingga kini pelaksanaannya masih menjadi tanda tanya.

Beliau turut mendakwa pembangunan Negeri Sembilan tidak berlaku secara seimbang apabila pertumbuhan lebih tertumpu di kawasan bandar seperti Seremban, sedangkan kawasan luar bandar terus berdepan penghijrahan penduduk muda akibat kekurangan peluang pekerjaan.

“Seremban semakin sesak dan kesesakan berlaku pada waktu pagi serta petang kerana ramai penduduk perlu bergerak keluar untuk bekerja.

“Persoalannya, adakah Seremban hanya mahu menjadi bandar yang selesa untuk didiami tetapi tidak mempunyai peluang pekerjaan yang mencukupi?” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak boleh hanya bergantung kepada kutipan cukai tanpa mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, selain perlu memberi perhatian kepada jurang pembangunan yang semakin ketara antara kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, keadaan itu dapat dilihat di beberapa kawasan pedalaman termasuk Jelebu dan Gemas yang didakwanya semakin kehilangan golongan muda kerana berhijrah ke bandar, sekali gus menunjukkan kerajaan negeri tidak mempunyai visi pembangunan yang mampu menghidupkan semula kawasan berkenaan.

Selain itu, Chegubard turut mengkritik pendekatan pembangunan kawasan industri yang menurutnya tidak mengambil kira kedudukan hulu sungai serta risiko terhadap sumber air.

Beliau berkata, pembangunan industri sepatutnya dirancang dengan lebih teliti supaya sebarang kejadian atau pencemaran tidak memberi kesan kepada keseluruhan sistem sungai di Negeri Sembilan. Atas faktor tersebut, beliau mendakwa Menteri Besar tidak mempunyai gagasan pembangunan yang jelas untuk negeri itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat