KUALA LUMPUR — Di sebalik wajah manis dan personaliti ceria yang sering menghiasi media sosial, tersimpan kisah perjuangan seorang anak Sabah yang tidak pernah berhenti mengejar impian. Pada usia 25 tahun, Sharmaine Ilenna Rudy Alexander membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan dunia hiburan bukanlah dua perkara yang mustahil untuk digalas serentak. Berasal dari Tuaran, Sabah, beliau kini semakin dikenali sebagai antara wajah baharu yang berjaya mengimbangi kerjaya profesional dan minat dalam dunia seni.
Graduan Ijazah Sarjana Perundangan itu kini menetap di Kuala Lumpur dan berkhidmat dalam bidang perundangan, selain aktif sebagai pelakon, pengacara serta pencipta kandungan digital. Minatnya terhadap dunia hiburan yang bermula sejak usia muda membuka peluang untuk beliau mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi, tanpa mengabaikan kepentingan pendidikan yang menjadi pegangan hidupnya sejak kecil.
Penyertaan Sharmaine dalam Dewi Remaja 2025 menjadi titik tolak penting dalam perjalanan seninya apabila platform tersebut membuka ruang untuk beliau menimba pengalaman dan memperkenalkan dirinya kepada khalayak yang lebih luas.
Dalam satu wawancara eksklusif yang diadakan di Studio Podcast Suara TV bersama wartawan Jannah Jalidar, Sharmaine berkongsi kisah perjalanan hidupnya, cabaran mengimbangi kerjaya dan pendidikan, pengalaman sepanjang menyertai Dewi Remaja serta impian besar yang masih ingin dicapai pada masa hadapan.
Suara TV : Sharmaine, terima kasih kerana sudi hadir ke Podcast Suara TV. Ramai yang mengenali Sharmaine hari ini sebagai finalis Dewi Remaja, pencipta kandungan media sosial dan kini mula aktif dalam industri hiburan. Namun mungkin masih ramai yang belum mengenali latar belakang sebenar Sharmaine. Boleh kongsikan sedikit mengenai diri anda?
Sharmaine : Terima kasih kerana menjemput saya. Saya sebenarnya berasal dari Tuaran, Sabah dan merupakan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik. Saya membesar di Sabah sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di UiTM. Saya mengambil Asasi Undang-Undang, kemudian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan seterusnya Ijazah Sarjana Perundangan. Saya memang membesar dalam keluarga yang sangat mementingkan pendidikan.
Suara TV : Kita difahamkan sejak usia 13 tahun lagi Sharmaine sudah mempunyai impian untuk terlibat dalam dunia hiburan. Bagaimana semuanya bermula?
Sharmaine : Saya memang meminati dunia hiburan sejak kecil. Saya suka menonton drama dan melihat artis-artis yang berjaya dalam industri. Pada usia 13 tahun saya sudah memasang impian untuk menjadi seorang artis. Tetapi pada masa yang sama saya sedar bahawa pendidikan tetap penting sebagai jaminan masa depan. Jadi saya sentiasa memastikan pelajaran menjadi keutamaan walaupun mempunyai minat yang besar dalam dunia seni.
Suara TV : Menariknya, hampir seluruh keluarga Sharmaine berada dalam bidang perundangan. Adakah itu menjadi inspirasi untuk Sharmaine?
Sharmaine : Ya, sudah tentu. Ibu saya sentiasa mengingatkan bahawa pendidikan boleh mengubah kehidupan seseorang. Dua orang kakak saya merupakan peguam dan saya sendiri memilih bidang yang sama. Kami memang dibesarkan dalam suasana yang menitikberatkan ilmu dan pendidikan.
Suara TV : Sebelum dikenali menerusi Dewi Remaja, ramai mengenali Sharmaine melalui kandungan media sosial yang sering tular. Bagaimana perjalanan itu bermula?
Sharmaine : Sebenarnya saya mula menghasilkan kandungan sejak zaman Instagram lagi. Saya suka membuat vlog dan berkongsi kehidupan harian. Apabila TikTok menjadi popular, saya mula aktif menghasilkan kandungan di platform itu. Pada mulanya ia sekadar hobi, tetapi lama-kelamaan saya melihat potensi media sosial sebagai platform untuk membina kerjaya dan menjana pendapatan.
Suara TV : Ramai yang menganggap media sosial hanya untuk populariti. Bagaimana Sharmaine melihat perkara itu?
Sharmaine : Bagi saya, populariti hanyalah bonus. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita menggunakan platform tersebut dengan bijak. Saya melihat media sosial sebagai satu peluang untuk membina jenama diri dan menjana pendapatan melalui kandungan yang dihasilkan.
Suara TV : Sharmaine baru sahaja pulang dari luar negara dan terus kembali bekerja. Bagaimana anda menguruskan jadual yang begitu padat?
Sharmaine : Saya sentiasa memastikan diri kekal aktif. Saya akan cuba berjalan sekurang-kurangnya 10,000 langkah sehari, menjaga pemakanan dan mengambil suplemen yang diperlukan. Selain kesihatan fizikal, saya juga menjaga kesihatan mental dengan membaca bahan-bahan yang memberi inspirasi dan mengelakkan perkara-perkara negatif.
Suara TV : Bercakap mengenai Dewi Remaja. Bagaimana sebenarnya Sharmaine boleh menyertai program tersebut?
Sharmaine : Sejujurnya saya tidak pernah menyangka akan menyertai Dewi Remaja. Pada hari uji bakat, saya berada hampir sejam di dalam kereta kerana terlalu banyak berfikir dan meragui diri sendiri. Saya tertanya-tanya sama ada saya layak atau tidak. Namun akhirnya saya memberanikan diri untuk mencuba kerana saya percaya jika tidak mencuba, saya tidak akan tahu sejauh mana kemampuan saya.
Suara TV : Apakah pengalaman paling mencabar sepanjang menyertai Dewi Remaja?
Sharmaine : Tekanan. Itu perkara yang paling saya ingat. Ketika itu saya masih bekerja, sedang menyiapkan pengajian sarjana dan pada masa yang sama perlu memberi komitmen kepada Dewi Remaja. Saya sentiasa cuba memberikan yang terbaik walaupun berdepan tekanan yang sangat besar dari segi mental dan fizikal.
Suara TV : Pernahkah Sharmaine berada pada tahap hampir berputus asa?
Sharmaine : Ya, pernah. Ada ketika saya merasakan terlalu penat dan hampir mahu menarik diri. Tetapi saya sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap cabaran yang saya lalui adalah sebahagian daripada proses untuk mencapai impian yang lebih besar.
Suara TV : Walaupun sibuk dengan pelbagai komitmen, Sharmaine berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana. Mengapa pendidikan masih menjadi keutamaan?
Sharmaine : Saya memang suka belajar. Saya sentiasa mempunyai matlamat yang tinggi untuk diri sendiri. Salah satu impian saya adalah untuk melengkapkan tahap pendidikan tertinggi sebelum usia 30 tahun. Sebab itu saya terus berusaha walaupun jadual saya sangat padat.
Suara TV : Kita difahamkan anda juga berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD?
Sharmaine : Ya. Saya sudah memulakan proses tersebut dan kini sedang menyiapkan cadangan penyelidikan. Itu merupakan salah satu impian yang masih ingin saya capai.
Suara TV : Sepanjang perjalanan ini, apakah cabaran paling besar yang pernah Sharmaine hadapi?
Sharmaine : Saya pernah mengalami microsleep ketika memandu selepas habis penggambaran pada awal pagi dan perlu menghadiri urusan kerja pada keesokan harinya. Pengalaman itu sangat memberi pengajaran kepada saya tentang kepentingan menjaga kesihatan walaupun sedang mengejar impian.
Suara TV : Kini Sharmaine semakin aktif dalam bidang lakonan. Apa yang paling menarik mengenai dunia lakonan?
Sharmaine : Saya suka cabaran untuk membawa watak yang berbeza daripada diri saya sendiri. Setiap watak mempunyai emosi, latar belakang dan cerita yang berbeza. Sebagai pelakon baharu, saya masih banyak belajar dan cuba memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
Suara TV : Apakah projek terkini yang sedang dijalankan?
Sharmaine : Ketika ini saya sedang terlibat dalam drama bersiri Love of My Life dan beberapa projek pengacaraan. Saya juga masih aktif menghasilkan kandungan media sosial dan menjalankan tanggungjawab dalam bidang perundangan.
Suara TV : Jika diberi pilihan antara dunia perundangan dan dunia hiburan, yang mana satu akan dipilih?
Sharmaine : Buat masa ini saya memilih kedua-duanya. Saya masih muda dan saya mahu meneroka semua peluang yang ada. Saya tidak mahu menyesal suatu hari nanti kerana tidak mencuba perkara yang saya minati.
Suara TV : Siapakah individu yang paling memberi inspirasi dalam hidup Sharmaine?
Sharmaine : Sudah tentu ibu saya. Beliau merupakan sumber kekuatan dan inspirasi terbesar dalam hidup saya. Selain itu, saya juga mengagumi Meghan Markle dan Hailey Bieber kerana keyakinan serta cara mereka membina identiti dan kerjaya masing-masing.
Suara TV : Apakah impian terbesar yang masih belum dicapai?
Sharmaine : Saya mahu menamatkan pengajian PhD, menjadi pelakon yang lebih baik dan suatu hari nanti membintangi filem layar perak. Saya juga berharap dapat membawa nama Sabah lebih jauh dalam industri hiburan tanah air.
Suara TV : Akhir sekali, apakah pesanan Sharmaine kepada anak-anak muda yang sedang mengejar impian mereka?
Sharmaine : Sentiasalah merendah diri, mudah menerima ilmu dan jangan takut untuk mempunyai impian yang besar. Kadang-kadang impian itu nampak mustahil, tetapi jika kita terus berusaha dan tidak mudah mengalah, kita mungkin akan mencapai sesuatu yang jauh lebih besar daripada apa yang pernah kita bayangkan.



