KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) kini sedang berada pada salah satu tahap politik yang paling lemah, itulah ungkapan yang diberikan bekas pemimpin DAP Dr P Ramasamy dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata parti PKR, DAP dan Amanah semuanya mengalami kemerosotan sokongan politik, lebih penting lagi PKR dan DAP telah kehilangan sebahagian besar sokongan bukan Melayu yang suatu ketika dahulu adalah komponen penting kekuatan pilihan raya mereka.
P Ramasamy yang juga Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) mengingatkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk ambil inisiatif bentuk gabungan politik lebih besar dengan menghimpunkan kekuatan parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Walaupun parti pimpinan Muhyiddin itu kini berdepan kesukaran politik ekoran hubungan yang semakin renggang dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) tetapi parti itu tidak seharunya dianggap tidak relevan.
“Bersatu mungkin sedang terhincut-hincut, tetapi ia sama sekali belum mati dari segi politik,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Ramasamy berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh menjadi peluang kepada Bersatu untuk menguji bentuk kerjasama politik lebih luas, termasuk kemungkinan bekerjasama dengan PH.
Beliau mengingatkan Bersatu untuk berhati-hati dan bersikap terkawal dalam mempertimbangkan apa sahaja kerjasama dengan PH kerana gabungan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sedang berdepan kemerosotan sokongan.
Menurutnya, sokongan masyarakat India terhadap PH juga didakwa hampir runtuh, manakala sokongan masyarakat Cina kepada DAP yang dianggarkan sekitar 40 peratus tidak boleh dianggap terjamin.
Ramasamy berkata, Bersatu secara bersendirian tidak mempunyai kekuatan mencukupi untuk menentukan hala tuju politik Melaka, namun keadaan itu boleh berubah sekiranya parti berkenaan berjaya membentuk persefahaman pilihan raya lebih luas dengan parti pembangkang lain.



