Kerajaan terpaksa tanggung beban kewangan puluhan bilion ringgit bayar hutang 1MDB, SRC, FELDA dan TH – PM

KUALA LUMPUR- Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung beban kewangan bernilai puluhan bilion ringgit bagi melunaskan komitmen hutang dan pelaburan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, FELDA serta Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi komitmen 1MDB dan masih terikat dengan baki obligasi sebanyak RM20.1 bilion sekiranya tiada dana tambahan berjaya diperoleh.

“Kerajaan akan terus mengambil tindakan perundangan dan memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memaksimumkan pemulihan baki aset 1MDB yang diseleweng.

“Usaha ini penting untuk mengurangkan beban kewangan negara dan memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara,” jelas Anwar.

Menurut Menteri Kewangan itu lagi, bagi kes SRC International pula, kerajaan telah melunaskan kira-kira RM5.35 bilion obligasi syarikat itu kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) memandangkan pinjaman tersebut dijamin sepenuhnya.

“Apabila SRC tidak dapat memenuhi sepenuhnya obligasi pembayarannya, kerajaan perlu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penjamin bagi memastikan obligasi kepada KWAP diselesaikan,” kata Anwar.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai FELDA, baki pinjaman agensi berkenaan yang masih dijamin oleh kerajaan setakat 30 September 2026 telah merekodkan jumlah sebanyak RM5.88 bilion daripada keseluruhan kelulusan jaminan berjumlah RM9.9 bilion.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar mengesahkan bahawa kerajaan terpaksa menanggung dana penyelamatan RM10.2 bilion pada tahun 2018 bagi menangani ketirisan pengurusan TH yang mengakibatkan kerugian pelaburan hampir RM13 bilion.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat