Di sebalik perseteruan Arsenal dan Chelsea, PL, I Love You membawa kisah tentang cinta yang enggan mengalah, kenangan yang hilang dan keinginan untuk mengubah seseorang demi sebuah impian.
Dalam cinta, kita mungkin sanggup bertolak ansur tentang banyak perkara. Selera makan, pilihan tempat bercuti, malah tabiat pasangan yang kadangkala menguji kesabaran. Namun, apabila melibatkan bola sepak, jangan terkejut jika perkara sekecil lambang pada jersi mampu mencetuskan perdebatan panjang.
Apatah lagi jika seorang penyokong Arsenal jatuh cinta dengan lelaki yang meletakkan kesetiaannya kepada Chelsea lebih tinggi daripada segala-galanya.
Di situlah bermulanya kisah PL, I Love You, drama romantik komedi arahan Michael Ang yang mengangkat perseteruan dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris sebagai latar kepada sebuah hubungan yang penuh liku. Dibintangi Kamal Adli dan Intan Serah, drama lapan episod ini bukan sekadar bermain dengan sentimen penyokong bola sepak, sebaliknya turut menyentuh persoalan yang lebih dekat dengan kehidupan kita, sejauh mana seseorang sanggup mengubah dirinya demi orang yang dicintai?
Lily, lakonan Intan Serah, ialah seorang peguam yang berjaya dan penyokong tegar Arsenal. Kecintaannya terhadap The Gunners bukan sekadar minat terhadap sukan, tetapi turut berkait dengan satu impian yang ditinggalkan arwah bapanya. Dia mahu berkahwin dengan lelaki yang berkongsi kesetiaan terhadap kelab kesayangannya.
Malangnya, hati tidak selalu memilih mengikut perancangan.

Adam, watak yang dibawakan Kamal Adli, ialah pemilik bengkel kereta yang menyokong Chelsea. Bukan setakat berbeza pendirian dengan Lily, Adam juga menyimpan luka peribadi yang menjadikan kebenciannya terhadap Arsenal lebih mendalam daripada sekadar persaingan di atas padang.
Mereka pernah bercinta, berpisah dan kembali menemukan jalan antara satu sama lain. Namun, apabila Lily melamar Adam, perbezaan yang selama ini menjadi sebahagian daripada hubungan mereka akhirnya menjadi penghalang. Adam bersetuju untuk berkahwin, tetapi enggan mengubah kesetiaannya kepada Chelsea.
Bagi Lily, impian yang dipegang sejak sekian lama seolah-olah semakin menjauh. Bagi Adam pula, cinta tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengorbankan sesuatu yang sudah lama menjadi sebahagian daripada dirinya.
Barangkali di sinilah PL, I Love You menemukan sisi paling menarik dalam ceritanya. Dalam hubungan, kita sering jatuh cinta kepada seseorang kerana keistimewaan yang dimilikinya. Namun, apabila hubungan semakin serius, timbul pula keinginan untuk membentuk pasangan itu mengikut gambaran yang kita impikan.
Kita mahu dia memahami kita, menyukai perkara yang kita suka dan kadangkala meninggalkan perkara yang tidak sehaluan dengan kehendak sendiri. Tanpa sedar, usaha untuk saling memahami boleh berubah menjadi usaha untuk mengubah pasangan.
Bagi Lily dan Adam, konflik itu hadir dalam bentuk Arsenal dan Chelsea. Dua kelab yang menjadi simbol kepada pendirian masing-masing, tetapi pada masa sama menguji sejauh mana cinta mampu bertahan apabila kehendak tidak lagi seiring.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila Adam mengalami amnesia selepas terjatuh dalam satu kejadian. Kehilangan ingatan itu membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka, sekali gus memberikan Lily peluang untuk mendekati semula lelaki yang pernah dicintainya.
Atau mungkin, peluang untuk mendapatkan semula Adam seperti yang diimpikannya selama ini.
Rasa bersalah mendorong Lily untuk membantu Adam mendapatkan kembali ingatannya. Namun, apabila dia mengetahui tentang pertandingan Liga Perdana Inggeris yang menawarkan perkahwinan impian di Stadium Emirates, gelanggang keramat Arsenal, niatnya mula bercampur dengan keinginan peribadi.
Lily mengambil kesempatan daripada keadaan Adam untuk cuba mengubah persepsi lelaki itu terhadap Arsenal. Dia mahu Adam menjadi penyokong kelab yang sama dengannya, seolah-olah kehilangan ingatan memberikan peluang untuk menulis semula segala-galanya, termasuk kesetiaan yang sudah lama tertanam dalam hati lelaki itu.
Dari situlah komedi mula menemukan ruangnya. Situasi yang tercetus daripada percubaan Lily bukan sahaja mengundang gelak tawa, tetapi turut memperlihatkan betapa rumitnya usaha untuk membentuk seseorang menjadi individu yang kita mahu.
Namun, di sebalik gelagat dan perbezaan sokongan bola sepak, ada persoalan yang lebih besar menanti mereka. Jika Adam kembali mengingati masa lalunya, adakah Lily masih mempunyai tempat dalam hatinya? Dan jika Adam benar-benar berubah menjadi lelaki yang diimpikan Lily, adakah lelaki itu masih Adam yang sama?
Cinta bukan pertandingan untuk menentukan siapa yang paling banyak mengalah. Kadangkala, cabaran sebenar ialah menerima bahawa orang yang kita sayang mempunyai dunia, sejarah dan pendirian sendiri yang tidak semestinya sama dengan kita.
Pandangan itu turut dikongsi Intan Serah ketika berbicara tentang wataknya. Menurutnya, cinta sesama insan boleh mengatasi kecintaan terhadap bola sepak, tetapi perkara yang lebih penting ialah saling menghormati dan menyayangi walaupun mempunyai perbezaan pendapat.
Intan juga melihat hubungan pasangan sebagai ruang untuk saling mempengaruhi, namun bukan sehingga seseorang kehilangan dirinya sendiri.
Baginya, perkara yang lebih utama daripada usaha mengubah pasangan ialah saling melengkapi, menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing serta membesar bersama selagi hubungan itu tidak memudaratkan.
Pandangan tersebut memberikan dimensi tersendiri kepada watak Lily. Di sebalik keyakinannya sebagai wanita yang berjaya, dia juga seorang manusia yang terikat dengan harapan keluarga, kenangan terhadap arwah bapanya dan keinginannya untuk membina kehidupan bersama Adam. Keinginannya tidak semestinya lahir daripada niat yang buruk, tetapi perjalanan watak ini mengingatkan bahawa sesuatu yang dilakukan atas nama cinta juga boleh melukakan apabila kita terlalu mengejar gambaran kebahagiaan sendiri.
Selain Lily dan Adam, drama ini turut menampilkan Zara, lakonan Hawa Rizwana, seorang wanita cacat penglihatan yang membawa lapisan emosi berbeza dalam jalan cerita. Bagi Hawa, watak itu menuntut persediaan khusus, termasuk ketika menjayakan babak menonton perlawanan Arsenal.
Dia membiasakan diri dengan latihan memejamkan mata dan berjalan menggunakan tongkat sebelum penggambaran bagi memastikan pergerakannya kelihatan lebih semula jadi. Dengan bimbingan pembimbing lakonan Khairunazwan Rodzy, Michael Ang dan Hadith, Hawa berusaha memberikan gambaran yang lebih meyakinkan terhadap watak yang dibawakannya.
Sementara itu, Theebaan G yang memegang watak Rama melihat pembabitannya dalam PL, I Love You sebagai pengalaman baharu. Aktor berusia 36 tahun itu mengakui dirinya bukan peminat tegar bola sepak, walaupun pernah mengenali pemain dan kelab terkenal ketika zaman persekolahan.
Pengalaman menjalani penggambaran di London bagaimanapun membuka perspektif berbeza kepadanya tentang kedudukan bola sepak dalam kehidupan masyarakat. Dia mula memahami bagaimana sukan itu mampu menyatukan orang ramai, membentuk identiti dan mencetuskan semangat kesetiaan yang begitu kuat dalam kalangan penyokongnya.
Malah, Theebaan turut memuat turun aplikasi Liga Perdana Inggeris pada telefon bimbitnya selepas terlibat dalam drama tersebut.
Evertts Gomes yang memainkan watak Jason pula menyifatkan PL, I Love You sebagai kisah yang menghubungkan dua dunia, iaitu cinta terhadap insan dan kecintaan terhadap bola sepak. Drama ini turut menampilkan kolaborasi dengan Premier League serta kemunculan istimewa pemain daripada kelab Liga Perdana Inggeris, yang pastinya menambah tarikan kepada peminat sukan berkenaan.
Dibintangi juga Nina Jasmin sebagai Sofea dan Sean Lee sebagai Rayyan Danish, PL, I Love You membawa pendekatan yang cukup santai untuk mengisahkan hubungan manusia yang tidak selalu berjalan mengikut rancangan.
Perseteruan Arsenal dan Chelsea mungkin menjadi tarikan awal, tetapi persoalan tentang cinta, kehilangan dan penerimaan itulah yang menjadikan perjalanan Lily dan Adam lebih daripada sekadar kisah penyokong dua kelab yang bertelagah.
Akhirnya, mungkin bukan soal sama ada seseorang sanggup menukar jersi untuk orang yang dicintai. Persoalannya, mampukah kita mencintai seseorang tanpa meminta dia menjadi orang lain?
Kerana dalam sebuah hubungan, kemenangan tidak semestinya bermaksud pasangan kita akhirnya menyokong pasukan yang sama. Ada kalanya, kemenangan yang lebih bermakna ialah apabila dua hati yang berbeza masih memilih untuk berdiri di sisi satu sama lain, walaupun warna yang mereka banggakan tidak pernah serupa.
PL, I Love You mula ditayangkan pada 30 September lalu, setiap Rabu dan Khamis, pukul 9 malam di Astro Ria. Drama lapan episod berdurasi sejam ini turut boleh distrim menerusi Sooka.



