KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong mempersoalkan jawapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkait mengenai perjanjian 25 tahun antara Majlis Perbandaran Taiping dengan Zoo Tennoji berkenaan gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
Menurut Ka Siong, jawapan yang diterima, kononnya KPKT tidak mempunyai maklumat mahupun hubungan secara langsung berhubung perkara, urusan atau terma perjanjian pemindahan gajah ini.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, kementerian itu memaklumkan, KPKT tiada maklumat dan tiada hubungan secara langsung berhubung perkara, urusan, mahupun terma perjanjian pemindahan gajah ini.
Walau bagaimanapun kata KPKT, berdasarkan maklumat daripada Majlis Perbandaran Taiping (MPT), pihak Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan sedang meneliti Perjanjian Pemindahan Tiga Ekor Gajah Asia (DAK) ke Tennoji Zoo Osaka, Jepun bertarikh 19 Mei 2022 dan 6 Oktober 2022 yang telah dikemukakan oleh MPT pada 22 Mei 2026.
Jelas KPKT, berkenaan isu pengelasan dokumen dan pembentangan di Dewan Rakyat, dokumen perjanjian tersebut telah diklasifikasikan sebagai sulit mengikut prosiding dan peraturan yang berkuat kuasa. Memandangkan perkara ini sedang berada di bawah penelitian rasmi JKP Alam Sekitar, Sains dan Perladangan, sebarang ketetapan berkenaan pemakluman terma termasuk klausa pemilikan anak gajah dan syarat penamatan mahupun pembentangannya adalah tertakluk sepenuhnya kepada pertimbangan dan syor JKP Alam Sekitar, Sains dan Perladangan mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Katanya, pihak Kementerian sentiasa menghormati peranan dan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam menjalankan semak dan imbang terhadap perkara ini.
Secara spesifik, Ka Siong berkata, beliau bertanya kepada Menteri KPKT mengenai perjanjian 25 tahun antara Majlis Perbandaran Taiping dengan Zoo Tennoji.
“Menurut jawapan yang diterima, KPKT tidak mempunyai maklumat mahupun hubungan secara langsung berhubung perkara, urusan atau terma perjanjian pemindahan gajah ini.
“Kata tiada maklumat, tetapi boleh pula mendapatkan maklumat daripada Majlis Perbandaran Taiping (MPT)? “…berdasarkan maklumat daripada Majlis Perbandaran Taiping (MPT), pihak Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan sedang meneliti Perjanjian Pemindahan Tiga Ekor Gajah Asia (DAK) ke Tennoji Zoo Osaka, Jepun…”
“Sudah tentu, dokumen perjanjian yang telah diklasifikasikan sebagai ‘sulit’ itu menimbulkan lebih banyak persoalan.
“Rakyat, terutama pencinta haiwan, pastinya menaruh harapan yang tinggi berhubung isu DAK ini. Kita bukan sahaja menuntut keadilan, tetapi juga berharap isu ini diselesaikan secara telus. Ini juga selaras dengan misi KPKT, antaranya memastikan tadbir urus kerajaan tempatan yang cekap dan berintegriti,” katanya.



