KUALA LUMPUR – Petronas wajar mengambil peluang untuk meneruskan pelaburan berikutan harga minyak mentah yang lebih tinggi pada masa sekarang meningkatkan daya maju projek serta aliran tunai, demikian menurut CIMB Securities.
Syarikat minyak dan gas nasional itu juga dijangka mendapat sokongan oleh rizab tunai yang kukuh serta berakhirnya proses penstrukturan semula tenaga kerja yang dimulakan pada 2025, kata CIMB Securities dalam satu nota penyelidikan.
“Kami percaya terdapat sedikit sebab untuk Petronas terus menangguhkan pelaburan,” kata firma pembrokeran pasaran itu menurut laporan BH pada Isnin.
Menurutnya, kekangan utama yang dihadapi Petronas ialah komitmen tunai susulan pengambilalihan pegangan 50 peratus milik Saudi Aramco dalam Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PRefChem), selain kemungkinan keperluan pembayaran dividen yang lebih tinggi kepada kerajaan.
Bagaimanapun, CIMB Securities berpandangan faktor-faktor terbabit hanyalah cabaran sementara yang boleh diimbangi sebahagiannya melalui aliran tunai yang lebih kukuh hasil daripada kenaikan harga minyak.
Ia berkata, harga minyak yang lebih tinggi dan mampan akan meningkatkan daya maju projek-projek baharu, manakala kelewatan berterusan boleh menyebabkan syarikat minyak terlepas kitaran pelaburan semasa dan berdepan tempoh menunggu yang lebih panjang bagi mendapatkan peralatan serta perkhidmatan.
Firma itu mengunjurkan harga minyak mentah Brent pada AS$85 setong bagi separuh kedua 2026 dan AS$80 setong bagi separuh pertama 2027.
Menurut CIMB Securities, harga Brent semasa yang berada antara AS$75 hingga AS$80 setong menunjukkan pasaran menjangkakan proses normalisasi aliran minyak melalui Selat Hormuz akan berjalan dengan agak lancar susulan kemajuan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Kesan gangguan bekalan setakat ini telah dikurangkan oleh kadar penggunaan loji penapisan global yang lebih rendah, penggunaan laluan eksport alternatif oleh pengeluar di Teluk Parsi serta pelepasan stok daripada rizab petroleum strategik.
Walau bagaimanapun, CIMB Securities menganggarkan jumlah kehilangan bekalan sepanjang konflik itu telah melebihi satu bilion tong minyak.
Ia berkata, usaha mengisi semula inventori yang susut dan membina semula penampan bekalan mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya setahun, sekali gus menyokong permintaan minyak mentah dan mengekalkan harga Brent melebihi AS$70 setong, walaupun aliran melalui Selat Hormuz kembali normal dalam tempoh terdekat.
“Ini kekal sebagai paras harga yang sihat untuk mengekalkan aktiviti pelaburan dalam sektor huluan,” katanya.
Saham pilihan utama CIMB Securities bagi sektor minyak dan gas ialah Dayang Enterprise Holdings Bhd, Dialog Group Bhd dan MISC Bhd.
Syarikat lain yang berpotensi mendapat manfaat daripada pemulihan perbelanjaan huluan termasuk penyedia perkhidmatan penggerudian Velesto Energy Bhd, serta pengendali kapal sokongan luar pesisir Keyfield International Bhd dan Perdana Petroleum Bhd.
Bagi Dialog, pemangkin utama ialah pemuktamadan pembiayaan bagi loji aromatik di Kompleks Tenaga Pengerang, manakala MISC berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada kitaran pelaburan baharu dalam aset pengeluaran huluan.
Risiko kepada pandangan positif CIMB Securities terhadap sektor minyak dan gas termasuk gangguan bekalan yang kurang serius daripada konflik Asia Barat, kelembapan ekonomi global yang lebih ketara daripada jangkaan, serta permintaan minyak global yang lebih lemah, lapor akhbar itu lagi.
Firma pembrokeran pasaran itu mengekalkan penarafan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor minyak dan gas, berdasarkan potensi pemulihan perbelanjaan modal dalam segmen huluan, selain penilaian syarikat perkhidmatan medan minyak yang masih dianggap menarik.



