KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai dakwaan bahawa Istana Negara meminta Perikatan Nasional (PN) mengemukakan nama selain Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, dakwaan yang kini diperkatakan susulan kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang merujuk kepada pendedahan dibuat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, adalah di luar pengetahuan beliau dan juga Muhyiddin sendiri.
“Saya tidak tahu sama ada dakwaan yang membabitkan Istana Negara ini benar atau tidak.
“Saya yang berurusan secara langsung dengan pihak Istana Negara dalam urusan calon Perdana Menteri dari PN tidak pernah dimaklumkan mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Marzuki berkata, beliau tampil menjelaskan perkara itu selepas Wan Ahmad Fayhsal mendakwa kegagalan PN membentuk kerajaan selepas PRU15 berpunca daripada seorang individu yang enggan memberi laluan kepada calon lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Menurutnya, individu yang dimaksudkan dalam dakwaan tersebut jelas merujuk kepada Muhyiddin.
Beliau turut menyifatkan tuduhan bahawa Muhyiddin bertindak atas dasar hasad dengki sebagai satu dakwaan yang amat berat dan tidak adil.
Marzuki menjelaskan bahawa selepas PRU15, Muhyiddin memperoleh sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat termasuk daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Jumlah ini melepasi majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat. Saya masih menyimpan salinan Akuan Bersumpah 114 Ahli Dewan Rakyat ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata Istana Negara pada 22 November 2022 mengeluarkan kenyataan bahawa tiada calon yang memperoleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, dipercayai kerana sokongan daripada 10 Ahli Parlimen BN kepada Muhyiddin dipertikaikan.
Marzuki berkata, ketika Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara pada pagi 24 November 2022 bagi membincangkan pelantikan Perdana Menteri, hanya dua nama yang difahamkan dipertimbangkan iaitu Muhyiddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, pada pagi yang sama, Abdul Hadi bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, datang ke kediaman Muhyiddin untuk mengemukakan nama Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai calon Perdana Menteri daripada PN.
Katanya, Muhyiddin menjelaskan bahawa 114 Akuan Bersumpah yang diperoleh adalah khusus untuk menyokong beliau sebagai Perdana Menteri dan bukannya Hamzah.
“Jika Hamzah ingin menamakan dirinya sebagai Perdana Menteri, beliau perlu mendapatkan persetujuan semua Ahli Dewan Rakyat terbabit untuk membuat Akuan Bersumpah baharu yang menyokong beliau.
“Tan Sri Muhyiddin tidak boleh memindahkan atau ‘transfer’ sokongan Ahli-Ahli Dewan Rakyat kepadanya kepada Hamzah kerana Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan seseorang calon Perdana Menteri mesti mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan isu berkenaan bukan soal memberi laluan kepada individu lain, sebaliknya berkait secara langsung dengan kehendak Perlembagaan.
“Ini bukan soal memberi laluan. Ini adalah soal perlembagaan,” katanya.
Tambah beliau, cadangan mengemukakan nama Hamzah sebagai calon Perdana Menteri hanya timbul pada saat-saat akhir dan belum sempat perbincangan dimuktamadkan, berita diterima bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Marzuki menegaskan bahawa jika benar Abdul Hadi menuduh Muhyiddin bertindak kerana hasad dengki seperti didakwa Wan Ahmad Fayhsal, tuduhan tersebut adalah tidak adil terhadap bekas Perdana Menteri itu.
“Jika benarlah Haji Hadi menuduh Tan Sri Muhyiddin berhasad dengki seperti yang didakwa oleh Wan Fayhsal, ini adalah satu tuduhan yang amat tidak adil kepada Tan Sri Muhyiddin,” katanya.


