KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan menurunkan harga diesel kepada RM2.10 seliter mulai bulan depan tidak memberi jaminan kos perkhidmatan pertanian seperti membajak dan menuai akan turun pada masa terdekat.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob berkata, kadar upah yang meningkat sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebelum ini sukar diturunkan serta-merta kerana pengusaha jentera sudah lama menanggung kos operasi yang tinggi.
Katanya, kebanyakan operator jentera pertanian sebelum ini membeli diesel pada harga pasaran lebih tinggi menyebabkan kos perkhidmatan terpaksa dinaikkan bagi menampung perbelanjaan operasi.
“Apabila kadar upah membajak atau menuai sudah dinaikkan, ia bukan mudah untuk diturunkan semula dalam tempoh singkat.
“Penurunan harga diesel yang diumumkan kerajaan memang berita baik kepada kami petani, tetapi belum ada petunjuk jelas bahawa kadar upah perkhidmatan pertanian akan kembali ke paras lama,” katanya menurut laporan BH di Alor Setar pada Isnin.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga diesel di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak diturunkan kepada RM2.10 seliter berkuat kuasa bulan depan.
Katanya, langkah itu dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam menggunakan mekanisme berasaskan MyKad selaras pendekatan dilaksanakan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Abdul Rashid berkata, penurunan kos hanya berpotensi berlaku jika harga diesel pada kadar lebih rendah itu dapat dikekalkan untuk tempoh panjang dan benar-benar dinikmati pengusaha jentera pertanian.
Katanya, ketika ini pesawah masih berdepan peningkatan kos pengeluaran yang ketara apabila kos membajak dua kali di sesetengah kawasan meningkat daripada sekitar RM160 kepada lebih RM300 serelung atau 0.28 hektar.
“Kadar perkhidmatan traktor pula naik daripada kira-kira RM120 kepada antara RM180 hingga RM200 serelung, manakala kos mesin penuaian meningkat daripada RM180 kepada sekitar RM250 serelung.
“Jika tiada mekanisme yang memastikan subsidi diesel sampai kepada operator jentera dan penyedia perkhidmatan pertanian, kadar upah semasa berkemungkinan kekal,” katanya.
Justeru, Abdul Rashid berkata, pihaknya berharap kerajaan memperkenalkan mekanisme yang berkesan supaya manfaat penurunan harga diesel dapat dirasai semua pihak termasuk pesawah.
Selain itu, katanya, pihaknya turut berharap wujud persaingan lebih sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan pertanian yang mampu menawarkan kadar lebih kompetitif.
“Jika tiada mekanisme khusus membabitkan diesel, jentera pertanian dan kos operasi lain, kadar upah yang meningkat sekarang mungkin terus kekal, malah boleh meningkat lagi,” katanya.



