Jumlah pengundi berdaftar di negeri Johor ialah 2,725,559 orang mengikut daftar pemilih terkini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan datang.
Daftar pemilih terkini yang digunakan mengikut adalah Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2026 yang diperakui oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 20 Mei dan diwartakan secara rasmi pada 21 Mei lepas, mengikut data SPR.
Jumlah itu meliputi 56 kerusi DUN dan ia mengambil kira kemasukan pengundi automatik berusia 18 tahun ke atas.
Menurut data statistik terkini SPR, Hampir separuh daripada pengundi di Johor terdiri daripada golongan belia dan dewasa muda.
“Pengundi berumur 18 hingga 39 tahun merangkumi kira-kira 1.3 juta orang atau bersamaan 47.6 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi,” menurutnya.
Seramai lebih 710,000 orang pengundi berumur di bawah 30 tahun yang biasanya dikenali sebagai Generasi Z (Gen Z).
Jika dilihat mengikut jumlah pecahan utama pengudi di Parlimen sekitar negeri Johor, Johor Bahru ada 126,368 pemilih, Pulai 165,313 pemilih, Iskandar Puteri 222,437 pemilih dan Kulai memiliki 151,247 pemilih berdaftar.
Ada 7 kerusi DUN yang boleh menjadi tumpuan dengan kemenangan diperolehi dengan majoriti yang sedikit.
Kerusi Bukit Batu dimenangi Pakatan Harapan (PH) dengan hanya majoriti 137 undi, Bukit Pasir dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 198 undi, Parit Yaani dimenangi majoriti 294 undi dan Tangkak dimenangi PH dengan majoriti 372 undi.
Sejarah PRN Johor pada tahun 2022 menunjukkan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 54.2 peratus.
Kerusi DUN Kota Iskandar direkodkan sebagai kawasan yang mempunyai jumlah pemilih berdaftar tertinggi di Johor dengan catatan melebihi 129,344 pengundi.
Kehangatan PRN Johor akan bermula dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun dengan tempoh kempen selama 14 hari.
Hari mengundi awal ialah pada 7 Julai dan hari mengundi ditetapkan pada 11 Julai depan.



