KUALA LUMPUR – Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Datuk Dr Azman Ibrahim menegaskan, bukan pembangkang tak agresif atau tidak bijak memanfaatkan isu.
Sebaliknya kata Azman, faktanya ialah dalam situasi sekarang, sebelah kaki kita bertindak sebagai pembangkang dan sebelah kaki lagi berfungsi sebagai kerajaan.
Jelas beliau, setiap teguran kita kepada Kerajaan Pusat, kita mesti kemukakan langkah solusi dari kerajaan negeri. Barulah ia menjadi teguran yang membina dan kondusif.
“Contohnya, kita tegur kerajaan dalam isu beras tempatan. Pada masa yang sama kita bentangkan kepada rakyat langkah-langkah yang telah diambil kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil padi seperti peningkatan infrastruktur pengairan, jalan pertanian, pembinaan empangan, penyelenggaraan pintu air, peningkatan kesuburan tanah dan lain-lain.
“Kita ulas isu kenaikan harga diesal yang sangat membebankan petani seterusnya menjejaskan rantaian pengeluaran makanan, pada masa yang sama kerajaan negeri perlu mengatur langkah bertindak bagaimana untuk mengurangkan beban para petani terutamanya pesawah.
“Antara yang praktikal ialah, kerajaan negeri mempertimbangkan ruang dan kemampuan kewangan yang ada untuk memberikan tambahan insentif membajak atau jentuai,” katanya.
Azman yang juga AJK Pas Pusat berkata lagi, umum maklum keuntungan Petronas hasil peningkatan harga minyak masuk kepada Kerajaan Pusat. Penyaluran wang petroleum atau royalti kepada Terengganu pula berhadapan pelbagai isu. Kenaikan harga minyak adalah keputusan Kementerian Kewangan (MOF).
“Tapi kerajaan negeri tak boleh berlepas tangan kerana yang sedang menanggung beban ialah pesawah dan petani kita.
“Contoh lain lagi, kita minta Kerajaan Persekutuan selesaikan isu lesen nelayan. Dalam masa yang sama nelayan yang diberi lesen turun kelaut nak tangkap ikan. Maka kerajaan negeri buat pelbagai usaha untuk memperkayakan sumber perikanan. Barulah seimbang antara pemberian lesen nelayan dan peningkatan jumlah tangkapan.
“Kita sedar nelayan Terengganu terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negeri lain kerana isu infrastruktur pelabuhan dan jeti pendaratan. Maka kita usaha cari bajet untuk baik pulih dan naik taraf jeti yang dibawah selian LKIM. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri juga membina jeti-jeti baru untuk kemudahan para nelayan.
“Jalan-jalan pertanian yang teruk, kita cari bajet dari Kumpulan Wang Amanah Jalan dari Persekutuan untuk naik taraf. Bajet negeri juga kita peruntukan untuk tujuan yang sama.
“Kalau boleh saya katakan, zaman sekarang rakyat dambakan politik solusi atau politik penyelesaian dan bukan lagi politik gema yang berdegar-degar. Rakyat mengimpikan untuk menjalani hidup dengan tenang dan tenteram.
“Bagaimana kita sebagai pemimpin yang diberikan amanah boleh berperanan untuk mewujudkan ketenteraman dan kedamaian ini,” selar beliau.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin menyifatkan pembangkang hari ini merupakan yang paling tidak berguna, menyorot beberapa isu tempatan dan luar negara yang menurutnya seharusnya diketengahkan pembangkang.
Selain mengetengahkan krisis tenaga global yang disebabkan oleh konflik yang berterusan di Asia Barat, Khairy juga merujuk kepada dakwaan baru-baru ini yang dibuat oleh ahli perniagaan Victor Chin mengenai ahli Parlimen PKR yang dikatakan menerima RM9.5 juta berhubung skandal mafia korporat.



