KUALA LUMPUR – Ketua Armada Bersatu Hilman Idham mengingatkan bahawa kerajaan tidak boleh mengharapkan rakyat untuk terus berkorban tanpa memberikan gambaran jelas tentang hala tuju dasar subsidi serta langkah perlindungan yang konkrit.
Menurut beliau, Armada Bersatu memandang serius kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan berkuatkuasa hari ini, 26 Mac 2026.
Tegas Hilman, kenaikan ini bukan sekadar pelarasan angka, tetapi satu tekanan baharu yang akan terus menghimpit kehidupan harian rakyat.
“Hakikatnya, setiap kenaikan harga minyak akan memberi kesan rantaian kepada kos sara hidup — daripada harga makanan, pengangkutan, sehinggalah kepada barangan keperluan asas.
“Situasi ini juga bakal memacu inflasi yang tinggi sekali gus menekan kuasa beli rakyat. Kesannya, golongan B40 dan M40 yang masih bergelut dengan tekanan ekonomi pasca pandemik kini sekali lagi dipaksa menanggung beban yang semakin berat.
“Namun, apa yang lebih mengecewakan, setelah pelbagai janji dan hujah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya berhubung desakan untuk kerajaan sebelum ini menurunkan harga minyak, Kerajaan Madani sendiri gagal memberi penjelasan yang telus dan meyakinkan berhubung rasional kenaikan ini.
“Apakah kenaikan ini semata-mata akibat daripada konflik yang berlaku di Asia Barat? Bukankah kenaikan harga minyak dunia turut meningkatkan pendapatan negara khususnya menerusi Petronas? Apakah unjuran pendapatan Petronas sekiranya konflik di Asia Barat berterusan? soal Adun Gombak Setia itu dalam kenyataan media pada Khamis.
Kata Hilman lagi, rakyat juga bimbang dengan beberapa laporan media yang mendedahkan kuota subsidi RON95 untuk rakyat bakal di kurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter. Jika laporan ini benar-benar berlaku, ianya merupakan satu malapetaka buat rakyat.
Selain itu ujar beliau, kerajaan harus menyediakan pelan yang konstruktif bagi mengawal dan menstabilkan harga diesel yang memberi kesan langsung terhadap rantaian bekalan dan logistik.
“Persoalannya, apakah semua ruang penjimatan dalam pengurusan kewangan negara telah diteroka sepenuhnya? Mengapa rakyat perlu dibebankan terlebih dahulu, sedangkan isu ketirisan dan pembaziran masih belum ditangani secara menyeluruh?
“Jelas, pelarasan harga minyak yang berkuatkuasa hari ini membuktikan Kerajaan Madani gagal. Kerajaan harus tampil beri penjelasan segera dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya,” bidas Hilman.



