BN umum MB Negeri Sembilan letak jawatan, Istana belum beri perkenan

SEREMBAN – Istana Negeri Sembilan menegaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, susulan pengumuman Barisan Nasional (BN) mengenai peletakan jawatan beliau malam tadi.

Malah, pihak Istana memaklumkan bahawa ketulenan surat peletakan jawatan yang didakwa ditandatangani Ismail masih belum disahkan.

Pengelola Bijaya Diraja dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang peletakan jawatan Menteri Besar hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh baginda.

Menurut kenyataan itu, Istana mengambil maklum pengumuman Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, menerusi media sosial pada pukul 10 malam, 16 November, mengenai peletakan jawatan Ismail.

Bagaimanapun, surat peletakan jawatan berkenaan hanya dihantar ke Istana Hinggap, Seremban, pada pukul 12.16 pagi, 17 November, iaitu lebih dua jam selepas pengumuman BN dibuat.

Surat tersebut diserahkan oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.

Dalam perkembangan berkaitan, Istana turut mendedahkan bahawa Setiausaha Sulit telah memaklumkan kepada Ismail melalui WhatsApp pada pukul 8.38 malam, 16 November, mengenai perkenan baginda untuk beliau menghadap.

Ismail dilaporkan telah mengakui penerimaan makluman itu, dengan sesi menghadap ditetapkan pada pukul 10 pagi, Jumaat, 20 November 2026.

“Perkenan menghadap tersebut telah diberikan lebih awal 80 minit sebelum siaran YB Dato’ Seri Zambry di akaun Facebook beliau yang memaklumkan peletakan jawatan itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Istana seterusnya menegaskan bahawa pihaknya belum mengesahkan ketulenan surat yang menurut Zambry telah ditandatangani oleh Ismail.

Semalam, BN mengumumkan telah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, bertarikh 16 November.

BN turut menyatakan penghargaan terhadap khidmat Ismail dan berharap peletakan jawatan itu dapat membuka lembaran baharu bagi memulihkan kestabilan politik serta memastikan pentadbiran negeri kembali berfungsi dengan lancar.

Bagaimanapun, kenyataan terbaharu Istana menunjukkan bahawa status peletakan jawatan Ismail masih belum dimuktamadkan melalui proses perkenan diraja seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Perhatian kini tertumpu kepada sesi menghadap Ismail pada Jumaat ini bagi mendapatkan perkembangan lanjut mengenai kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat