Sistem bekalan elektrik negara kekal stabil, terjamin – TPM

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), sedang memantau secara rapi perkembangan semasa krisis geopolitik di Asia Barat, khususnya susulan penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran pada 2 Mac 2026 yang telah memberi kesan kepada pasaran tenaga global, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Hj. Fadillah Yusof.

“Walau bagaimanapun, perkembangan ini tidak menjejaskan tahap ketersediaan dan jaminan bekalan elektrik negara pada masa ini.

“Sistem penjanaan elektrik di Semenanjung menggunakan sekitar 40 peratus (%) hingga 45% gas asli sebagai bahan api utama dan sebahagian besar bekalan gas tersebut diperoleh daripada sumber gas domestik di Kerteh serta kawasan pembangunan bersama Thailand – Malaysia Joint Development Area (JDA).

“Bekalan gas dalam negara pada masa ini adalah stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa, ”katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata berhubung tarif elektrik, melalui kerangka Incentive Based Regulation(IBR) di bawah tempoh Kawal Selia Keempat (Regulatory Period 4 – RP4) dari tahun 2025 hingga 2027, kerajaan komited melindungi kebajikan pengguna daripada impak kenaikan kos bahan api global.

Beliau berkata sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) pada setiap bulan
berdasarkan pergerakan kos bahan api sebenar di pasaran.

“Pada masa ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600 kWj sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos bahan api.

“Justeru, sekitar 85% pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api di pasaran antarabangsa, sekaligus memberikan kestabilan kepada perbelanjaan isi rumah. Berdasarkan perkembangan semasa, kadar AFA diunjurkan kekal dalam keadaan rebat sehingga April ini, ”katanya.

Katanya lagi, sekiranya kos bahan api global terus meningkat dan ketegangan di Asia Barat berlarutan, kadar AFA berpotensi untuk berubah pada bulan-bulan berikutnya.

“Sejak Julai 2025, tampungan subsidi yang telah diberikan oleh Kerajaan adalah berjumlah RM2,506 juta yang disalurkan kepada pengguna melalui rebat bil elektrik sebagai insentif cekap tenaga.

“Bagi memastikan perlindungan yang berterusan, Kerajaan juga sedang meneliti langkah mitigasi tambahan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan sehingga memberi tekanan melampau kepada kos bahan api,”ujarnya.

Ujarnya lagi, PETRA akan terus bertindak proaktif dalam mengimbangi keterjaminan tenaga dalam negara dengan keupayaan ekonomi pengguna agar tarif elektrik kekal pada kadar yang munasabah.

“Sebagai langkah kebersamaan dalam mendepani situasi semasa, pengguna digalakkan untuk terus mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dan berhemah.

“Amalan jimat elektrik bukan sahaja
membantu mengurangkan komitmen bil bulanan individu, malah ia merupakan sumbangan besar rakyat dalam memperkukuh kelestarian sistem tenaga negara, ”tambahnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat