Cabaran Pelantikan PMX Gagal: Mahkamah Tinggi Batalkan Saman Waytha Moorthy

CYBERJAYA — Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan untuk menolak saman pemula yang difailkan oleh P. Waytha Moorthy terhadap Anwar Ibrahim berhubung pelantikannya sebagai Perdana Menteri serta kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Tambun, memetik laporan Bernama.

Hakim Alice Loke Yee Ching dalam penghakimannya menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan kerana isu yang dibangkitkan sepatutnya difailkan melalui saluran petisyen pilihan raya.

Menurut beliau, saman tersebut tidak mempunyai asas kukuh untuk diteruskan dan tidak menunjukkan sebarang kemungkinan untuk berjaya, sekali gus membenarkan permohonan pihak defendan untuk membatalkannya.

Mahkamah turut menegaskan bahawa kes berhubung pertikaian keputusan pilihan raya perlu dikendalikan oleh Mahkamah Pilihan Raya, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada. Ini termasuk keperluan bahawa petisyen mesti didengar oleh hakim yang dilantik khas oleh Ketua Hakim Negara.

Dalam prosiding sama, peguam yang mewakili Anwar berhujah bahawa tindakan saman tersebut merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah, malah difailkan agak lewat selepas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 2022.

Beliau turut memohon kos guaman berjumlah RM125,000.

Bagaimanapun, pihak plaintif yang diwakili peguamnya menyatakan bahawa kes tersebut melibatkan kepentingan awam dan negara, bukan semata-mata isu individu, serta memohon agar tiada perintah kos dikenakan.

Mahkamah akhirnya memutuskan supaya Waytha Moorthy membayar kos sebanyak RM80,000 kepada Anwar.

Saman itu sebelum ini difailkan pada Ogos tahun lalu bagi mencabar kesahihan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada November 2022 serta kemenangan beliau sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat