MELAKA – Ketidakpuasan hati terhadap DAP didakwa menjadi antara faktor yang mempengaruhi penurunan kecenderungan pengundi Cina untuk keluar mengundi pada PRN Melaka.
Namun MCA mengakui parti itu masih belum memperoleh sokongan mencukupi untuk menawan kerusi majoriti Cina.
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata, tindakan sebahagian pengundi Cina tidak keluar mengundi boleh ditafsirkan sebagai isyarat protes, selain menunjukkan mereka masih mahukan pilihan politik yang lebih jelas.
“Apabila mereka tidak ingin keluar mengundi, maknanya mereka marah. Tetapi mereka masih berbelah bahagi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata MCA turut menunjukkan perkembangan positif apabila undi di dua kerusi yang dimenangi meningkat.
“Manakala jurang kekalahan di Kota Melaka dan Bandar Hilir berjaya dikurangkan.
“Namun, peningkatan itu masih belum cukup untuk membolehkan parti berkenaan muncul sebagai pemenang di kedua-dua kerusi majoriti Cina tersebut,” katanya.
Mengakui masih terdapat ruang untuk diperbaiki, Choo Seong berkata MCA perlu meneruskan reformasi dan transformasi parti, selain lebih konsisten memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina, khususnya dalam isu ekonomi dan pendidikan.
Beliau turut menyifatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai berjalan baik, dengan kedua-dua pihak saling membantu mengikut kemampuan masing-masing.
Katanya, MCA akan melakukan bedah siasat keputusan pilihan raya bagi memperkemas strategi dan menilai pendekatan untuk memenangi semula sokongan pengundi Cina.
Beliau menegaskan parti itu juga perlu memastikan kepentingan semua kaum, termasuk masyarakat Cina sebagai komuniti minoriti, diambil kira dalam dasar masa hadapan.


