MANILA – Pendekatan Malaysia mengadakan penglibatan langsung dan dialog berterusan dengan semua pihak bagi menangani kemelut Myanmar kekal berpandukan kerangka ASEAN serta Konsensus Lima Perkara (5PC), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pertemuan dengan kepimpinan Myanmar di Bangkok dan Beijing, disusuli lawatan rasmi Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia pada Oktober lalu, merupakan sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian yang lebih berkesan.
“Pendekatan ini tidak sekali-kali mengetepikan kerangka ASEAN dan 5PC, sebaliknya membuka ruang untuk menyampaikan pendirian serta harapan kita secara terus, di samping menangani isu dua hala, termasuk kebajikan rakyat Myanmar di Malaysia,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu menerusi hantaran di Facebook hari ini selepas berkongsi pendirian Malaysia dalam Sesi Permukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di sini, menurut laporan Bernama.
Anwar turut memaklumkan bahawa perkembangan di Myanmar antara perkara yang dibincangkannya bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio.
“Perkara ini memperlihatkan keperluan untuk meneruskan usaha diplomatik dengan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian kepada kemelut berkenaan,” katanya.
Selain Myanmar, perbincangan itu turut menyentuh ancaman jenayah penipuan rentas sempadan serta potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Dalam soal tenaga, Anwar menggesa pelaksanaan Jaringan Grid Tenaga ASEAN dipercepat bagi memenuhi peningkatan permintaan, khususnya daripada sektor ekonomi digital dan pusat data.
Menurutnya, langkah itu juga penting untuk memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga serantau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung di Manila pada 15 hingga 17 November di bawah kepengerusian Filipina. – Suara.TV



